B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


RMK-12: Industri halal diunjur sumbang 8.1 peratus KDNK

RMK-12: Industri halal diunjur sumbang 8.1 peratus KDNK

27 Sep 2021

Industri halal dijangka menyumbang kepada 8.1 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan penjanaan pendapatan eksport berjumlah RM56 bilion pada 2025, demikian menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Oleh itu, pembangunan industri halal diperkukuh bagi melahirkan pemain industri halal tempatan yang berdaya saing dalam merebut peluang pasaran halal global lebih besar.

“Langkah akan dilaksana untuk memperkukuh keupayaan dan kemampuan industri halal dengan meningkatkan pembangunan bakat halal, mewujudkan pengiktirafan profesional halal, mempercepat pembangunan industri termasuk penyertaan Bumiputera, meningkatkan daya saing produk dan menjadikan Malaysia hab halal global,” menurut dokumen itu.

Katanya, dalam menjadikan Malaysia sebagai hab halal global, rantaian bekalan halal ditambah baik dan Malaysia akan dipromosi sebagai destinasi pelaburan halal melalui pelbagai platform antarabangsa seperti ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta dewan perniagaan.

Rangkaian serantau dan saluran pengedaran syarikat besar tempatan serta syarikat multinasional akan dimanfaat untuk mempromosi produk dan perkhidmatan berorientasikan eksport.

Menurut dokumen itu, pusat pengedaran sedia ada seperti Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) serta platform e-dagang halal akan dimanfaatkan bagi menggalakkan kelancaran ketersambungan rantaian bekalan halal.

“Dengan memperkukuh peranan taman industri halal menjadi lebih mesra industri, ia akan menarik pelaburan baharu dan mengembangkan perniagaan sedia ada.

“Manakala, pendekatan pembangunan yang menyeluruh akan diguna untuk menghidupkan kembali taman industri halal sedia ada yang kurang berdaya maju,” katanya.

Di samping itu, insentif ditambah baik bagi menarik rakan niaga untuk melabur dalam produk dan perkhidmatan halal yang dipromosi, apabila dana pembiayaan Islam bersindiket serta platform khidmat nasihat digital akan diwujudkan bagi menyediakan penyelesaian kewangan kepada syarikat tempatan dan antarabangsa.

Dalam meningkatkan pembangunan bakat halal, dokumen itu menyatakan rangka kerja pekerjaan halal akan diperluas untuk merangkumi keperluan bakat dalam industri berpotensi tinggi seperti farmaseutikal, kosmetik dan peranti perubatan, melalui libat urus bersama pihak industri.

“Program akademik dan modul latihan akan diselaras serta diiktiraf mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

“Institusi pendidikan tinggi dan latihan kemahiran akan digalak untuk menawarkan lebih banyak program berkaitan halal bagi menghasilkan graduan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran menyeluruh dalam bidang halal,” menurut dokumen itu.

Tambahnya, kerjasama antara institusi penyelidikan awam dan swasta diperkukuh bagi mewujudkan kumpulan bakat penyelidik, saintis dan jurutera dalam bidang halal untuk membolehkan produk serta perkhidmatan halal yang bernilai tinggi dihasilkan.

Bagi memperluas pengiktirafan pengamal profesional halal di pasaran global, dokumen itu menyatakan Majlis Profesional Halal (HPB) di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disusun semula berdasarkan peraturan baharu apabila mekanisme berkaitan standard amalan profesional, tatakelakuan dan penilaian kompetensi halal akan dikenal pasti.

Sementara itu, menerusi pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), industri itu terus dibangunkan dengan memanfaatkan kekuatan industri tempatan, termasuk meningkatkan penyertaan syarikat Bumiputera bagi memperkukuh pembangunan industri itu.

“Perkhidmatan perundingan berkaitan pembangunan ekosistem halal juga akan ditawarkan kepada pihak berminat, termasuk negara yang mempunyai penduduk majoriti bukan Islam untuk memperkukuh pengiktirafan jenama halal Malaysia.

“Standard Malaysia (MS) berkaitan halal akan ditambah baik sebagai pemboleh daya utama untuk meningkatkan daya saing produk dan perkhidmatan,” menurut dokumen itu.

Dalam RMK-11, industri halal berkembang pada kadar purata 5.5 peratus setahun, manakala nilai eksport halal telah meningkat sedikit 0.8 peratus setahun daripada RM39.4 bilion kepada RM40.6 bilion dalam tempoh 2016 hingga 2019.

Bagaimanapun, dalam inisiatif yang memberi fokus kepada pembangunan standard dan pensijilan halal, penjenamaan serta promosi serta pengkomersialan produk dan perkhidmatan halal itu, sumbangan KDNK menurun pada 2020 kepada RM92.7 bilion dan eksport menurun dengan ketara kepada RM30.6 bilion.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon