B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Rangkaian 5G Malaysia raih pengiktirafan global di Anugerah Glotel London

Rangkaian 5G Malaysia raih pengiktirafan global di Anugerah Glotel London

05 Dis 2022

Rangkaian 5G Malaysia diiktiraf di peringkat global pada anugerah berprestij Glotel di London yang memperakui inovasi dan kecemerlangan untuk memajukan dan mentransformasikan telekomunikasi.

Para pemenang diumumkan ketika majlis anugerah global itu pada Khamis lepas yang menyaksikan penyertaan bersama Ericsson dengan Digital Nasional Bhd (DNB) menggondol kategori “Vendor Terbaik Inovasi 5G.”

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh David Hagerbro dalam kenyataan pada Ahad berkata anugerah itu adalah bukti kepada teknologi dan inovasi yang dirangkumkan ke rangkaian diberikan Ericsson kepada DNB, yang bakal menjadi tunjang kepada transformasi digital Malaysia.

Beliau berkata anugerah itu diberikan kepada syarikat telekomunikasi yang telah membangunkan teknologi atau perkhidmatan baharu terbaik dengan meningkatkan standard 5G dan pada masa sama mempamerkan sumbangan yang ketara terhadap kemajuan 5G secara keseluruhan.

“Anugerah Glotel adalah antara contoh komitmen kami dalam menyediakan rangkaian 5G bertaraf dunia untuk Malaysia dari segi mampu milik, memberi pengalaman pengguna bertaraf dunia dan keselamatan yang mempercepat transformasi digital serta menjadi destinasi menarik pelaburan asing memandangkan kesalinghubungan yang selamat dan kukuh diperlukan dalam operasi dan pembuatan,” katanya.

Selain itu, 5G akan mempertingkatkan gaya hidup digital pengguna seperti permainan, penstriman, penjagaan kesihatan dan pendidikan manakala perusahaan boleh memanfaatkan kes gunaan yang diperlukan untuk memajukan perniagaan antaranya dalam bidang perlombongan, logistik dan pertanian.

Penyertaan yang memenangi pelbagai anugerah itu adalah bagi “Rangkaian Teras Operator Berbilang dan Pemetakan Sumber Dinamik untuk Rangkaian 5G Borong Nasional.”

Rangkaian 5G DNB adalah rangkaian komersial pertama dunia yang menggunakan Pemetakan Sumber Radio Dinamik (DRP), penyelesaian Penghirisan Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G daripada Ericsson.

Hagerbro berkata DRP membolehkan enam operator telekomunikasi di rangkaian kongsi DNB menawarkan perkhidmatan 5G tersuai untuk mencapai kelajuan terbaik yang memberikan pilihan tanpa kompromi kepada pengguna di samping memacu nilai rangkaian dengan 5G sebagai platform inovasi.

Teknologi DRP melengkapi Rangkaian Teras Operator Berbilang (MOCN) yang turut digunakan di rangkaian 5G DNB yang membolehkan operator berkongsi sumber radio dengan wajar tanpa menjejaskan kualiti ketika waktu sibuk dan memberi kelainan dari segi tawaran mereka kepada pelanggan.

Beliau berkata kemampuan dari segi perkongsian aktif akan memaksimumkan penggunaan spektrum sehingga mendorong kepada perkhidmatan 5G dengan kos lebih rendah di Malaysia sekali gus mempercepat penerimagunaan dan transformasi digital.

“Kami juga berharap dapat menawarkan inovasi dan teknologi terkini ke Malaysia di samping mencapai lebih banyak perkembangan penting yang mengukuhkan daya saing dan mempercepat perjalanan negara menuju Negara Digital,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon