B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Rakyat Malaysia perlu guna pelbagai platform teknologi digital – MDEC

Rakyat Malaysia perlu guna pelbagai platform teknologi digital – MDEC

04 Feb 2021

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) meminta rakyat Malaysia menggunakan pelbagai teknologi digital bukan hanya platform e-dagang tetapi juga pendigitalan dalam proses perniagaan dan semua inovasi terbaharu.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata menyentuh mengenai tenaga kerja, sebahagian besar Malaysia terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tetapi syarikat dan korporat besar  memiliki pasukan yang mempunyai tugasan khusus dalam meningkatkan, melatih semula pekerja serta mengikuti perkembangan terkini pembangunan digital terbaharu.

“Kita perlu fikir bagaimana untuk mendapat manfaat menerusi pembelajaran pantas dan belajar antara satu sama lain kerana itu pengalaman yang lazim anda timba di sektor korporat. Persoalannya sekarang bagaimana anda mencipta sistem dan komuniti yang dapat memupuk latihan dan pembelajaran sebegini di syarikat yang lebih kecil, itu yang harus difikirkan,” katanya.

Surina berkata demikian pada acara ‘Google Breakfast Series — Peering into Malaysia’s Digital Future’ yang diadakan secara maya bersama panelis lain iaitu Pengarah Urusan Google Malaysia, Marc Woo, Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut, dan Pengasas Bersama PitchaEats, Suzanne Ling.

Surina berkata, PKS mesti membentuk jaringan dan kerjasama antara satu sama lain untuk membantu pengguna.

“Apabila kita memikirkan mengenai dunia digital, kita memikirkan ke mana kita akan pergi. Perkara pertama yang perlu kita semua ingat, ia bukan mengenai siswazah dan tenaga kerja, ia adalah mengenai kemahiran.

“Anda harus memimpin dengan kemahiran, anda perlu mengenali jenis kemahiran yang dimiliki dan menggunakannya,” katanya. 

Sebagai contoh, laman web MDEC mempunyai direktori kemahiran yang diperlukan untuk masa depan seperti pengekodan.

“Dan jika anda dapat menunjukkannya kemahiran dalam pengekodan, syarikat akan mengambil anda bekerja kerana ia adalah persekitaran berasaskan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata golongan siswazah dapat berkembang maju dalam dunia digital selagi mereka mempunyai rasa ingin tahu dan minat terhadapnya.

“Bagi PKS, mereka mempunyai masalah yang perlu mereka selesaikan, jika anda dapat memiliki rasa ingin tahu untuk memahami apa masalahnya dan menggunakan kemahiran anda, anda mampu menyumbang dalam dunia digital tanpa mengira latar belakang yang anda miliki,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama PitchaEats, Suzanne Ling berkata cabaran terbesar yang dihadapi syarikat adalah mengambil pekerja berkemahiran, sebuah syarikat perlu melakukan penyumberan luar untuk kerja berkaitan digital harta intelek tertentu dari luar negara kerana kekurangan bakat tempatan yang berkemahiran.

“Pekerja bekemahiran tinggi diambil bekerja oleh syarikat digital besar di Malaysia. Secara umumnya, rakyat Malaysia tidak mengambil inisiatif untuk belajar mengenai teknologi terkini, ia menyebabkan kebanyakan pekerja di Malaysia agak ketinggalan ke belakang.

“Saya telah bercakap dengan beberapa orang, dan kebanyakan daripada mereka menyatakan bahawa terdapat jurang dalam bidang digital dan mereka sentiasa belajar mengenai pengaturcaraan terbaharu ia merupakan cabaran terbesar bagi PKS,” katanya.

Selain itu, mengenai peralihan digital dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, Pengarah Urusan Grab Malaysia (Grab), Sean Goh berpendapat bahawa rakyat Malaysia akan menjadi semakin maju dengan kemahiran dimiliki serta peluang-peluang yang tersedia.

Beliau berkata perkhidmatan e-hailing telah beralih kepada digital sepenuhnya menerusi Google Maps dan Waze, serta rangkaian 4G, selain itu golongan cacat pendengaran turut mendapat Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) untuk menjadi pemandu e-hailing, pertama kali dalam sejarah negara, mereka dapat memperoleh pendapatan secara fleksibel, dan itu hanya permulaan kerana ada banyak yang Grab boleh lakukan pada masa depan.

“Kami berharap dapat melakukan hal yang sama untuk makanan dan minuman, misalnya ada begitu banyak menu Quick Response (QR) di mana-mana sekarang, pesanan dan pembayaran digital. sesiapa sahaja boleh melakukan pekerjaan yang hebat dalam industri perkhidmatan dengan teknologi masa kini,” kata Goh.

Goh berkata bagi lima tahun akan datang, syarikat akan mencipta teknologi yang dapat digunakan oleh semua orang.

“Kita harus mempunyai aplikasi yang dapat memperterjemah bahasa isyarat. Nampak seperti mustahul tetapi anda lihat kepada Google Translate, anda boleh terjemahkan dalam pelbagai bahasa dengan pantas, justeru teknologi membolehkan bahasa isyarat diterjemah ke dalam bahasa yang mudah difahami oleh semua orang pada masa depan,” katanya.

“Perubahan ini bergantung pada kepintaran, misalnya, seorang rakan saya di Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) menceritakan kepada saya mengenai seorang pemandu pekak yang dapat berkomunikasi dengan penumpang buta, dan kami tidak merancangnya. Ia dapat dilakukan dengan penggunaan “Grab Chat plus text to voice and voice to text”, ia sangat menakjubkan.

“Pertumbuhan digital mempunyai potensi melakukan perubahan, bayangkan, pelbagai perkara boleh dilakukan dengan teknologi digital ini,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon