B. Malaysia

|

|

This site
is mobile
responsive


Pembangunan produk tempatan rancakkan ekonomi setempat

Pembangunan produk tempatan rancakkan ekonomi setempat

05 Feb 2021

Komentar nukilan Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo bertajuk ‘Perlu institusi penyelidikan, bukan universiti’ yang disiarkan sebuah akhbar tempatan pada 27 Januari lalu menarik perhatian umum.

Saranan beliau berkenaan pelaburan jangka panjang kerajaan khususnya institusi penyelidikan awam yang perlu berfokus bebas dengan aset modal insan berkelulusan ijazah doktor falsafah (PhD) ditempatkan di sini, amat menarik diberikan perhatian.

Selain itu, persekitaran kelembapan ekonomi hari ini memerlukan satu intervensi kreatif kerajaan ke arah mempromosikan persekitaran ekonomi setempat yang lebih memberangsangkan sebagai imbangan terhadap makro ekonomi global.

Pandemik COVID-19 melanda negara masa kini diketahui ramai menjejaskan ekonomi serta pasaran kerja untuk masyarakat tempatan.

Tempias impak ini turut dirasai komuniti warga asing kerana banyak pasaran kerja dikuasai mereka sebelum ini diambil alih warganegara demi kelangsungan hidup.

Ini memaksa mereka dihambat keluar pihak berwajib, melainkan yang memenuhi syarat dan berstatus pekerja mahir.

Dalam mengharungi tekanan kelembapan ekonomi implikasi pandemik yang belum kelihatan tanda kesudahannya, Malaysia terus dihimpit beberapa laporan yang seperti kurang berpihak kepada negara.

Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) melaporkan Malaysia mengalami penguncupan 68 peratus pelaburan asing pada 2020 berbanding kadar negara ASEAN lain yang jauh lebih rendah.

Pengesahan berkenaan laporan ini dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan usaha kerajaan dalam menarik dan mengembangkan pelaburan asing sedia ada dalam negara.

Tidak cukup dengan itu, Malaysia jatuh enam anak tangga kepada kedudukan ke-57 daripada keseluruhan 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 yang dikeluarkan Transparency International (TI).

Malaysia mencatat skor 51 daripada 100 untuk 2020, berbanding 53 pada 2019.

Semua keadaan ini jelas merentangkan jalan berliku yang sukar dalam aspek pengurusan pelaburan asing langsung (FDI) negara untuk 2021.

Oleh itu, saranan mewujudkan institusi penyelidikan yang mampu menyambung sinergi penyelidikan sains asas yang dibangunkan universiti awam (UA) kepada penyelidikan berbentuk sains gunaan dan seterusnya produk pengguna siap perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan.

Sebagai permulaan, lebih baik sekiranya usaha ini dilaksanakan dalam bentuk pelaburan swasta yang menggunakan entiti perniagaan setempat seperti pengeluar kosmetik tempatan bagi menampung lompang pelaburan asing ini.

Tindakan ini sekurang-kurangnya mengurangkan kebergantungan rakyat kepada produk asing dan menggalakkan penggunaan produk tempatan, seterusnya merancakkan ekonomi setempat.

Entiti perniagaan tempatan pula perlu bekerjasama mengembangkan bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk masing-masing dengan menggunakan bahan, kepakaran dan hasil penyelidikan sains gunaan tempatan bagi menghasilkan produk yang memenuhi kriteria serta piawaian antarabangsa.

Melalui kerjasama rantaian penyelidikan sains asas pada peringkat UA (bahagian R&D produk dan entiti perniagaan setempat), pengguna akhir ini sahajalah jaminan ekonomi Malaysia kekal kukuh bertahan dalam cabaran dan tekanan ekonomi sekarang.

Rantaian dari makmal ke pasaran atau from lab to market ini sudah lama dipraktikkan di negara maju seperti Korea, Jepun, malah di negara jiran Thailand sebagai satu aspek melindungi ekonomi mereka.

Ditambah kempen serta galakan kerajaan untuk rakyat menggunakan produk tempatan, insya-Allah akan hadir sinar di hujung terowong.

Penulis adalah Penolong Pendaftar Kanan, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X