B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pulau Pinang tumpu pelaburan sektor pembuatan, perkhidmatan nilai tambah tinggi

Pulau Pinang tumpu pelaburan sektor pembuatan, perkhidmatan nilai tambah tinggi

30 Mei 2022

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menumpukan pelaburan melibatkan sektor-sektor tertentu terutama  pembuatan dan perkhidmatan yang mampu memberi nilai tambah yang tinggi.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, ini merangkumi segmen elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, peralatan perubatan, aeroangkasa, ekonomi digital, perkhidmatan perniagaan global dan perekaan litar bersepadu (IC).

Beliau berkata,  Pulau Pinang turut dilengkapi dengan ekosistem sempurna, sumber manusia berteknikal mahir dan berpengetahuan, kos operasi yang berdaya saing serta kemudahan menjalankan perniagaan daripada segi ketersediaan infrastruktur serta taman-taman perindustrian yang bertaraf antarabangsa.

Menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang, Ong Ah Teong mengenai jaminan mengekalkan pelabur di Pulau Pinang, beliau berkata kerajaan negeri akan terus fokus dan memperkukuh aspek tersebut agar pelabur kekal berdaya saing dan membuat pelaburan.

“Untuk memastikan pelabur sedia ada dan pelabur baharu dapat dijaga, beberapa inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri seperti  penubuhan Majlis Penasihat Industri Pembuatan Pulau Pinang pada April 2021.

“Terma rujukan bagi Majlis Penasihat Industri Pembuatan Pulau Pinang adalah untuk mempertingkatkan kemudahan dalam menjalankan perniagaan di negeri ini, menjalinkan usahasama untuk mengenal pasti kekuatan dan keupayaan syarikat-syarikat, mempromosikan ekosistem perindustrian serta menjadi suara bersepadu yang mewakili pihak industri,” katanya.

Chow berkata  selain inisiatif tersebut, InvestPenang juga menawarkan program bimbingan  untuk memberi sokongan dan kemudahan  pelabur sedia ada serta pelabur baharu dalam menubuhkan syarikat perniagaan, membina atau menyewa bangunan kilang baharu dan memulakan operasi pengilangan.

“InvestPenang juga berperanan penting untuk melancarkan proses pelabur dalam projek pembinaan kilang baharu, sesi pengambilan pekerja dan mengenal pasti tapak sementara sebagai perkhidmatan selepas jualan tanah industri,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon