B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Lawatan kerja PM ke Jepun beri impak positif kepada PKS

Lawatan kerja PM ke Jepun beri impak positif kepada PKS

28 Mei 2022

Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Jepun memberi impak positif dan suntikan baharu kepada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia, menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata lawatan kerja Perdana Menteri itu merupakan langkah proaktif bagi menggiatkan sektor ekonomi di Malaysia, seterusnya mengeratkan lagi hubungan dua hala di antara Malaysia dengan Jepun.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dengan usaha tersebut yang memberikan impak positif dan suntikan baharu kepada sektor PKS di Malaysia agar terus berkembang pesat terutamanya selepas pandemik,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ismail Sabri mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jepun selama enam hari sejak Isnin lepas dan bertemu rakan sejawatnya Fumio Kishida serta eksekutif tertinggi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dari 23 syarikat terkemuka Jepun. 

Semasa lawatan tersebut, Perdana Menteri telah menyertai sesi ramah mesra dan penyerahan dokumen bersama syarikat Jepun dan bertemu pemain industri dari syarikat pelbagai bidang termasuk minyak dan gas, pembuatan serta perkhidmatan bagi mengintai peluang pelaburan.

Noh berkata Ismail Sabri dalam pertemuan bersama Presiden dan CEO Mitsui Fudosan Co. Ltd, Masanobu Komoda turut membincangkan potensi Malaysia sebagai hab penting bagi mengembangkan perniagaan dan pelaburan Mitsui Fudosan.

“Terbaharu, syarikat multinasional tersebut telah bertapak di Bukit Bintang City Centre (BBCC) dengan nilai pelaburan berjumlah RM1.8 bilion dan projek tersebut melibatkan usaha sama agensi di bawah kementerian, UDA Holdings Berhad.

“Pelaburan tersebut telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan serta membantu memperkasakan Bangsa Usahawan menerusi penyediaan ruang perniagaan bertaraf antarabangsa di lokasi strategik,” katanya.

Menurut Noh, usahawan khususnya PKS harus mengambil peluang untuk memperkasa perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon