B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pulau Pinang raih pelaburan sektor pembuatan RM14.1 bilion

Pulau Pinang raih pelaburan sektor pembuatan RM14.1 bilion

30 Ogo 2021

Prestasi pelaburan Pulau Pinang masih lagi menunjukkan data yang memberangsangkan walaupun negara sedang berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi berikutan pandemik Covid-19.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berkata, berdasarkan maklumat daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pulau Pinang mencatatkan pelaburan pembuatan sebanyak RM14.1 bilion merangkumi 166 projek yang dijangka menghasilkan 13,268 peluang pekerjaan baharu pada tahun lalu.

Menurutnya, pelaburan langsung asing menyumbang sebanyak 75 peratus atau RM10.6 bilion, manakala pelaburan langsung domestik melonjak 92 peratus tahun ke tahun kepada RM3.5 bilion.

“Walaupun terdapat banyak ketidakpastian global, pencapaian pelaburan tahun 2020 adalah yang kedua tertinggi dalam sejarah Pulau Pinang.

“Pada suku tahun pertama 2021, Pulau Pinang telah mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM1.1 billion bagi sektor pembuatan. Nilai pelaburan ini diperoleh daripada 40 buah projek dan dianggarkan akan mewujudkan sebanyak 2,328 peluang pekerjaan baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 pada Isnin.

Ahmad Fuzi berkata, sebanyak 52 peratus nilai pelaburan berasal daripada pelaburan langsung domestik dan 48 peratus daripada pelaburan langsung asing.

Katanya, rekod Pulau Pinang untuk menarik pelaburan terbukti apabila baru-baru ini syarikat semikonduktor dari Korea Selatan, Simmtech Holdings Inc telah memilih negeri ini sebagai lokasi yang strategik.

Katanya, syarikat berkenaan mahu membangunkan kilang papan litar bercetak (PCB) dan substrat pembungkusan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM508 juta di Batu Kawan.

Sementara itu, Tun Ahmad Fuzi berkata, sebanyak RM467.56 juta hasil negeri berjaya dikutip negeri ini pada tahun 2020 atau 90.06 peratus daripada Anggaran Hasil Tahun 2020 iaitu sebanyak RM519.16 juta.

Bagi tahun 2021 setakat 30 Jun lalu, katanya, hasil yang berjaya dikutip ialah RM386.9 juta iaitu 76.46 peratus daripada anggaran Hasil Tahun 2021 sebanyak RM506.02 juta.

“Hasil sedia ada tidak dapat dikutip sepenuhnya disebabkan pengecualian kutipan hasil yang diluluskan kerajaan negeri berikutan situasi pandemik Covid-19. Antara pengecualian terbesar yang diberikan ialah cukai hiburan di mana pengecualian sepenuhnya diberikan sehingga 31 Disember 2021.

“Selain itu, hasil sewaan dan pajakan juga diberikan pengecualian dari semasa ke semasa bagi membantu meringankan beban golongan terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pulau Pinang merekodkan penyusutan negatif 2.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi tahun 2020 berbanding pertumbuhan 3.8 peratus pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, penurunan yang berlaku dipengaruhi oleh sektor Perkhidmatan yang menguncup 5.7 peratus didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit; penginapan; serta makanan dan minuman.

Selain itu, jelas beliau, penurunan dalam subsektor pengangkutan dan penyimpanan, hartanah serta perkhidmatan perniagaaan turut mempengaruhi prestasi sektor berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pertumbuhan lebih baik dalam produk elektrik; serta elektronik dan optikal pada tahun 2020 menyokong prestasi sektor Pembuatan untuk meningkat sebanyak 2.8 peratus.

Sumber: Sinar Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon