B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Belanjawan 2022 fokus lindungi, pulih kesihatan, ekonomi rakyat

Belanjawan 2022 fokus lindungi, pulih kesihatan, ekonomi rakyat

31 Ogo 2021

Belanjawan 2022 akan memberi tumpuan untuk terus melindungi, memulihkan kehidupan, mata pencarian rakyat dan perniagaan.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan Pra-Belanjawan 2022 pada Selasa berkata, ini termasuklah membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan pasca-pandemik.

Kata kenyataan itu, Belanjawan 2022 dirangka berdasarkan tiga keperluan utama dan turut mengambil kira jangkaan situasi ekonomi yang akan pulih daripada kesan pandemik Covid-19 pada tahun hadapan.

“Pertama, meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kedua, menentukan kesinambungan dasar. Bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi mata pencarian, kehidupan rakyat dan perniagaan,” ujar kenyataan tersebut.

Ketiga, kata kenyataan itu, memangkin pembaharuan pasca-pandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing serta berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan.

Mengulas lanjut, MOF berkata, Belanjawan 2022 akan berusaha untuk memastikan tiada pihak yang tercicir dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan sama ada rakyat mahupun perniagaan terutamanya pihak yang terjejas teruk disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan tahun ini.

Pada masa sama, MOF memaklumkan Belanjawan 2022 akan disejajarkan bersama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bakal dibentangkan di Parlimen pada September ini.

Katanya, belanjawan itu juga merupakan pemangkin ke arah pelaksanaan RMK12 yang akan memacu pertumbuhan, keterangkuman dan kelestarian ekonomi dalam jangka sederhana, berteraskan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

“Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai sesi libat urus dan konsultasi bagi mendapatkan input dan cadangan daripada pelbagai pihak bagi memastikan bajet yang dirangka adalah komprehensif dan memenuhi aspirasi segenap pihak selaras dengan iltizam Keluarga Malaysia.

“Kerajaan juga berharap dengan penerbitan kenyataan Pra-Bajet ini akan membantu menetapkan tahap jangkaan rakyat terhadap Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini,” jelasnya.

Sumber: Sinar Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X