B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Prospek ekonomi Asia Pasifik kekal kukuh

Prospek ekonomi Asia Pasifik kekal kukuh

09 Jan 2023

Prospek pertumbuhan ekonomi rantau Asia Pasifik (APAC) pada 2023 dijangka kekal kukuh meskipun berdepan risiko global, kata Moody’s Investors Service.

Agensi penarafan itu berkata, ekonomi APAC dijangka menghadapi rintangan yang dinamik dan pemacu sokongan.

“Pertumbuhan dijangka rendah berbanding 2022, tetapi hampir kepada potensi dalam kebanyakan kes, menyokong kestabilan kredit meluas.

“Meskipun pertumbuhan di rantau ini perlahan selepas pulih semula daripada pandemik, ia dijangka kekal kukuh berbanding rantau lain,” katanya dalam satu nota hari ini.

Sekatan sempadan berkaitan pandemik yang ditarik balik bagi pelancong liburan dan pembukaan semula semula aktiviti ekonomi domestik akan menyokong pemulihan sektor perkhidmatan dan peningkatan penggunaan di rantau ini yang seterusnya menyokong sumber utama pekerjaan.

Moody’s berkata, permintaan eksport lemah dari Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah akan menyeret turun momentum pertumbuhan bagi ekonomi berorientasikan eksport seperti Jepun (A1 stabil) Korea Selatan (Aa2 stabil), Malaysia (A3 Stabil), Taiwan, China (Aa3 stabil), Thailand dan Vietnam (Ba2 stabil).

Sementara itu, kekangan keadaan kewangan akan menjejaskan kemampuan sesetengah negara walaupun penurunan inflasi memperlahankan kenaikan kadar, katanya.

Moody’s berkata kebanyakan bank pusat di Asia Pasifik tidak mengetatkan dasarnya sepantas yang dilakukan oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dan Bank Pusat Eropah berikutan inflasi yang rendah dan pelaksanaan lebih banyak langkah fiskal ketara untuk membendung inflasi seperti subsidi bahan api, pengurangan cukai penggunaan dan penggantungan kenaikan tarif elektrik.

“Kesan kredit negatif juga kurang ketara bagi pasaran sedang pesat membangun dengan tahap pembiayaan konsesi ketara termasuk Bangladesh (Ba3 semakan bagi penurunan gred) dan Fiji.

“Ini termasuk negara yang mempunyai pembiayaan domestik kukuh seperti India, Malaysia dan Thailand, yang mana asas pelabur institusi besar dan sistem perbankan membantu mengukuhkan kemampuan hutang,” katanya.

Moody’s berkata, beban hutang dijangka terus meningkat atau stabil pada tahap tinggi di negara-negara seperti India dan Malaysia.

Mengenai mata wang, ia berkata, semua pasaran sedang pesat membangun mempunyai rizab pertukaran asing yang boleh menampung lebih daripada tiga bulan import, walaupun Bangladesh, Kemboja (B2 negatif), Malaysia dan Vietnam berkedudukan hampir dengan ambang itu.

Menurutnya, penurunan nilai renminbi China boleh menjejaskan daya saing pengeksport lain seperti Korea Selatan, Malaysia, Thailand dan Vietnam.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon