B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Projek pembangunan berintegrasi bakal ubah landskap sosioekonomi Yan – PM Ismail Sabri

Projek pembangunan berintegrasi bakal ubah landskap sosioekonomi Yan – PM Ismail Sabri

01 Sep 2022

Projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting bernilai RM14.4 bilion di sini akan membantu mengubah landskap ekonomi daerah Yan yang ketika ini bergantung kepada sektor pertanian.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembangunan projek itu bakal menjadikan Yan seperti daerah Pengerang di Johor yang dahulunya hanya perkampungan nelayan tetapi kini menjadi kawasan perindustrian yang pesat membangun.

“Saya percaya Yan juga akan membangun dengan pesat menjadi kawasan perindustrian dalam waktu yang terdekat ini, bukan sahaja pembangunan yang dapat dinikmati, penduduk Yan terutama golongan muda juga bakal menikmati banyak peluang pekerjaan.

“Kerajaan Persekutuan komited menyokong pelaksanaan projek ini yang membabitkan tiga komponen utama bagi menjadikan kawasan ini sebagai hab ekonomi baharu di wilayah utara,” katanya semasa merasmikan projek pembangunan tersebut, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Pengerusi Kumpulan MMC Corporation Bhd Tan Sri Tajudin Atan dan pengarah urusan kumpulan Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh. 

Projek tersebut yang akan dibangunkan oleh Kumpulan MMC dengan kerjasama SKS Corporation Sdn Bhd melibatkan tiga segmen iaitu Hab Kapal-ke-Kapal (STS) Yan, pembinaan Loji Janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) dan pembinaan Terminal Pengegasan Semula LNG.

Ismail Sabri berkata sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) beliau gembira dengan keputusan Kumpulan MMC yang mahu melabur di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang sekali gus akan mengubah landskap sosioekonomi penduduk setempat.

“Saya yakin pelaburan ini mampu melonjakkan nama Yan dan Negeri Kedah khususnya, sebagai hab industri petroleum terutama yang berasaskan gas asli cecair (LNG) di rantau ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pembangunan projek itu juga penting bagi Kedah terutamanya di kawasan tengah negeri itu untuk menjadi sebagai destinasi pelaburan dan perindustrian bagi tempoh jangka masa panjang.

Dalam pada itu, katanya, pelancaran projek tersebut serta Kedah Rubber City (KRC) yang telah dilancarkan sebelum ini membabitkan nilai pelaburan kira-kira RM24.4 bilion menunjukkan bahawa Kedah tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan Pusat.

“Sememangnya menjadi agenda kerajaan untuk membangunkan seluruh pelosok negara supaya tiada ahli Keluarga Malaysia yang terpinggir daripada nikmat pembangunan negara.

“Usaha ini menunjukkan setiap negeri mendapat layanan sama rata dan peluang ekonomi disebar luas ke seluruh negara terutamanya kawasan yang sebelum ini terlepas daripada arus kemajuan yang pesat,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon