B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


PKS disaran manfaatkan RCEP bagi memperkasakan kehadiran dalam rantaian bekalan serantau

PKS disaran manfaatkan RCEP bagi memperkasakan kehadiran dalam rantaian bekalan serantau

15 Jul 2021

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) disaran untuk memanfaatkan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi memperkukuhkan kehadiran mereka dalam rantaian bekalan serantau.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong berkata dengan memanfaatkan RCEP, PKS dapat memenuhi potensi permintaan 2.2 bilion penduduk merentasi 15 buah negara.

“Sama seperti dengan rakan-rakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang ada, kerajaan menggalakkan syarikat untuk memanfaatkan kemudahan ini bagi mengukuhkan eksport mereka dengan lebih baik dan memaksimumkan akses ke negara-negara rakan kongsi dan rakan FTA lainnya,” kata beliau dalam ucapan penutup pada program maya Hari Eksport eNasional (eNED) 2021 hari ini.

Sehingga kini, Malaysia telah menandatangani tujuh FTA dua hala dan sembilan FTA serantau, dengan yang terbaru adalah RCEP, yang dirancang untuk memperluas dan memperdalamkan hubungan ASEAN dengan Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Lim berkata selain FTA, syarikat Malaysia digesa untuk mematuhi syarat, piawaian dan perakuan antarabangsa serta mengamalkan amalan perniagaan yang sesuai dengan piawaian antarabangsa dan selaras dengan semangat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Melangkah ke hadapan, katanya agenda kemampanan adalah inisiatif lain yang akan terus diperjuangkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Kemampanan adalah topik yang sedang hangat yang terus menjadi tumpuan utama di seluruh dunia, terutama dalam kalangan pengeksport kerana negara-negara lain mula mengutamakan agenda ini dalam peraturan dan pematuhan perdagangan.

“Dalam mempersiapkan diri menghadapi cabaran atau peluang di masa depan dalam perdagangan, syarikat perlu memasukkan elemen Alam sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) dalam proses dan model perniagaan mereka. Ini akan membantu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam perdagangan global, “kata Lim.

Kebimbangan yang semakin meningkat berkaitan dengan alam sekitar, faktor ekonomi dan kerangka peraturan telah memaksa banyak industri dan perniagaan untuk menghadapi cabaran.

Di tengah-tengah ketidakpastian global, ESG juga menjadi amalan pengurusan risiko, terutamanya dalam rantaian bekalan. Bagi memastikan barang dan produk Malaysia terus menarik kepada pengguna global, kemampanan adalah strategi yang mesti diamalkan oleh industri Malaysia, tambah beliau.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon