B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


PIPC berpotensi jadi hab pengeluaran petrokimia di Asia

PIPC berpotensi jadi hab pengeluaran petrokimia di Asia

13 Sep 2022

Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) mempunyai potensi besar untuk menjadi hab pengeluaran petrokimia di rantau Asia apabila kawasan itu siap dibangunkan sepenuhnya nanti.

Pemangku Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation Bhd (JPDC), Izhar Hifnei Ismail, berkata PIPC mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan sehingga 11.3 juta tan petrokimia setahun apabila kompleks itu siap dibangunkan.

Katanya, ketika ini kadar pengeluaran semasa ialah 3.6 juta tan setahun yang dikeluarkan oleh Petronas sendiri.

“Pada masa ini terdapat dua, tiga syarikat minyak dan gas (O&G) bersepadu antarabangsa telah menyatakan minat untuk membina kemudahan mereka di PIPC ini.

“Syarikat ini telah pun menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan kita juga telah membantu menyediakan segala maklumat diperlukan kepada mereka.

“Kini, kita sedang menunggu mereka membuat penilaian dan memaklumkan kepada kita keputusan mereka,” katanya yang menjangkakan akan dapat diketahui sebelum akhir tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di ruang pameran agensi itu bersempena persidangan dan pameran minyak, gas dan petrokimia antarabangsa, OGA x MOGSEC & PSC 2022 di sini, hari ini.

JPDC, agensi di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab dalam menguruskan perancangan pembangunan PIPC.

Dalam pada itu Izhar berkata, JPDC telah menjalankan program latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan kemahiran semula (reskilling) untuk hampir 6,000 tenaga kerja industri hiliran O&G di PIPC sepanjang tempoh 2013 hingga 2022.

Katanya, dua inisiatif besar yang telah dilaksanakan ialah Program Kemahiran Minyak dan Gas (SOGA) dan Program Bridging Gaps dengan sokongan dana daripada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

“Jumlah ini merangkumi lebih 1,800 tenaga kerja yang telah menyempurnakan atau sedang menjalani Program SOGA.

“Ini adalah program latihan kemahiran teknikal dengan matlamat mempersiapkan tenaga kerja Malaysia dengan tahap kecekapan dan persijilan mandatori yang berkaitan dalam bidang-bidang kerja seperti yang diperlukan oleh syarikat-syarikat minyak dan gas hiliran di PIPC atau tempat lain di Malaysia,” katanya.

Program SOGA telah berjalan sejak tahun 2020, menawarkan 40 kursus teknikal berkaitan pemulihan loji termasuk kerja-kerja penyenggaraan, pembaikan dan baikpulih, pengurusan keselamatan dan pengurusan tenaga bagi memastikan kelancaran operasi loji-loji di PIPC.

JPDC merangka modul dan kandungan kursus latihan berpandukan jenis kemahiran yang diperlukan oleh syarikat.

Kursus-kursus terbabit dikendalikan oleh 14 institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) awam Malaysia.

Kesemua 1,505 peserta Program SOGA pada tahun 2020 dan 2021 telah berjaya mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan kursus masing masing.

Program Bridging Gaps bermula pada tahun 2016 dengan memberi penekanan kepada menyediakan latihan pengalaman kerja untuk siswazah-siswazah universiti Malaysia dalam bidang-bidang teknikal dan kejuruteraan.

Di bawah program ini, siswazah berpeluang mendapatkan kemahiran dan meningkatkan pemahaman mereka mengenai peranan jurutera loji penapisan, jurutera medan dan jurutera penyenggaraan dalam persekitaran loji minyak dan gas.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon