B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia berada di kedudukan terbaik capai sasaran pelaburan digital RM70 bilion menjelang 2025 – PM

Malaysia berada di kedudukan terbaik capai sasaran pelaburan digital RM70 bilion menjelang 2025 – PM

13 Sep 2022

Malaysia berada di kedudukan terbaik bagi mencapai sasaran pelaburan digital sebanyak RM70 bilion menjelang 2025, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia telah memainkan peranan penting sebagai hab pelaburan digital di ASEAN. 

“Dengan memiliki infrastruktur bertaraf dunia, ekosistem digital yang holistik dan bakat digital yang berpengetahuan tinggi, hari ini, Malaysia mampu menjadi destinasi pelaburan digital utama di ASEAN,” katanya pada majlis perasmian Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 (WCIT 2022) di sini hari ini.

Ia dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Beliau berkata sejak inisiatif MSC Malaysia diperkenalkan pada 1996, kerajaan telah berjaya menarik pelaburan digital bernilai RM384 bilion.

Katanya ia sekali gus melahirkan lebih 180,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dengan menjana pendapatan berjumlah RM588 bilion.

“Selepas 26 tahun, MSC Malaysia diberi nafas baharu melalui penjenamaan semula sebagai Malaysia Digital (MD).

“MD berperanan mentransformasi ekosistem ekonomi digital negara dan memacu lebih banyak program berimpak tinggi secara langsung kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata meskipun inisiatif MD telah dilancarkan pada Julai lalu, ia telah berjaya meraih nilai Pelaburan Digital Langsung Asing sebanyak RM42 bilion, hanya dalam tempoh dua bulan.

“Nilai ini dijana melalui pelaburan 28 buah syarikat asing yang terdiri daripada syarikat dalam sektor Pusat Data, Penyedia Perkhidmatan IT, Teknologi Kandungan Kreatif dan Global Business Services atau GBS,” katanya.

Beliau berkata kejayaan ini amat penting dalam proses pemulihan ekonomi negara kerana ia akan mewujudkan peluang pekerjaan berpengetahuan tinggi, membantu merancakkan inovasi seterusnya melonjakkan lagi ekonomi digital.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata perkembangan mengenai Pelaburan Digital Langsung Domestik, setakat 24 Ogos 2022 pula telah merekodkan sebanyak RM4.76 bilion.

“Menerusi usaha ini, sebanyak 6,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi sudah diwujudkan dan peluang ini akan terus meningkat pada masa akan datang,” katanya.

Katanya kerajaan juga telah merangka ekosistem pendigitalan untuk mencetuskan inovasi baharu melalui inisiatif MyDigital, yang mencakupi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara 4-IR (Four-iR).

Beliau berkata dasar ini akan melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran yang berkaitan. 

“Ia akan membentuk negara mempunyai kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur digital; menyediakan peraturan sesuai keperluan masa dan fleksibel dengan perubahan teknologi serta mempercepatkan inovasi.

“Inisiatif MyDIGITAL juga menyokong dasar pembangunan negara khususnya Rancangan Malaysia Ke-12 bagi mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan, selain sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon