B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pharmaniaga berjaya pasang mesin pengisian pre-filled syringe pertama di Malaysia

Pharmaniaga berjaya pasang mesin pengisian pre-filled syringe pertama di Malaysia

08 Feb 2023

Pharmaniaga Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd, telah berjaya memasang mesin pengisian pre-filled syringe (PFS), yang pertama di Malaysia untuk pengilangan produk vaksin, baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, katanya, kilang vaksin itu adalah sebahagian daripada pelan pembangunan berterusan Pharmaniaga LifeScience ke arah menjadi kilang pengeluaran vaksin Halal pertama di dunia.

Katanya, selain mesin pengisian PFS, kilang itu juga telah memasang mesin pembungkusan, termasuk mesin denester, mesin pemeriksaan visual automatik (AVI), mesin plunger rod insertion, mesin pelabelan dan mesin pensterilan.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, kilang vaksin itu telah diserahkan pada November tahun lepas dan telah menjalani fasa Ujian Penerimaan Kilang (FAT) untuk sistem air pengeluaran di Sweden untuk air tulen, air untuk suntikan dan penjana wap tulen pada Januari tahun ini.

“Kami berbesar hati untuk berkongsi kemajuan terkini kilang vaksin kami dan berbangga kerana mempunyai barisan pengeluaran PFS pertama Malaysia di kilang teknologi tinggi kami yang diperakui Kesatuan Eropah (EU) di Puchong,” katanya.

Beliau berkata, kilang itu juga telah berjaya melepasi ujian untuk mentadbir peralatan ujian vaksin yang disasarkan untuk dihantar pada suku pertama tahun ini.

“Kami menyasarkan kilang vaksin siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, pembinaan projek Kilang Insulin Halal Pharmaniaga LifeScience kini berada pada tahap 82 peratus.

“Kami sedang menyiapkan kilang insulin halal yang terletak di bangunan yang sama bagi produk kartrij insulin,” katanya.

Beliau berkata, fasa FAT untuk mesin pelabelan dan mesin blistering bagi produk kartrij insulin telah selesai dijalankan pada Disember 2022.

“Fasa FAT mesin-mesin lain untuk produk kartrij insulin seperti mesin pendispensan, mesin pensterilan, sistem pembuatan larutan steril, mesin pengisian kartrij dan mesin AVI dijadualkan bermula pada Februari 2023.

“Kilang insulin Halal ini disasarkan siap pada suku keempat 2023,” katanya.

Beliau berkata, kilang biofarmaseutikal Halal itu disasarkan untuk dikomersialkan pada 2024 untuk vaksin dan 2025 untuk insulin.

Zulkarnain berkata, kedua-dua kilang vaksin dan insulin itu adalah usaha pertama di dunia dan dalam negara, sejajar dengan tonggak pertumbuhan strategik syarikat yang akan memacu pertumbuhan masa depan industri biofarmaseutikal Halal negara.

Bahagian Pengilangan Pharmaniaga terdiri daripada enam buah kilang di seluruh Malaysia dan dua di Indonesia yang menghasilkan rangkaian produk farmaseutikal, biofarmaseutikal, over-the-counter (OTC) dan nutraseutikal.

Ini termasuk produk kategori terapeutik yang berbeza seperti kardiovaskular, pernafasan, gastrousus, anti-diabetes, analgesik, anti-jangkitan, vaksin, insulin dan suplemen kesihatan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon