B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pharmaniaga beri tumpuan edar vaksin Sinovac kepada kerajaan

Pharmaniaga beri tumpuan edar vaksin Sinovac kepada kerajaan

23 Jul 2021

Pharmaniaga Bhd menegaskan bahawa model perniagaan utamanya ialah memberi tumpuan kepada mengeluarkan dan mengedarkan vaksin Sinovac kepada kerajaan Persekutuan dalam memerangi pandemik Covid-19 di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, ini untuk memastikan penduduk di negara ini mendapat vaksinasi dan mencapai imuniti kelompok.

“Model perniagaan kedua kami ialah memberikan vaksin kepada kerajaan negeri dan syarikat swasta berikutan mereka tidak boleh menunggu program vaksinasi kerajaan Persekutuan dan memerlukan perniagaan mereka untuk terus beroperasi.

“Negeri-negeri yang telah menyatakan minat untuk membeli vaksin Sinovac daripada Pharmaniaga termasuklah Selangor, Pahang, Perak, Sarawak, Sabah, Johor dan Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media secara maya pada Jumaat.

Beliau berkata, jumlah permintaan untuk vaksin Sinovac dari tujuh negeri itu adalah hampir lima hingga enam juta dos dengan Selangor mencatatkan permohonan tertinggi iaitu hampir 2.5 juta dos.

“Kita ada pelbagai tempahan untuk dalam negara seperti untuk kerajaan negeri dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) telah memberi kebenaran untuk membuat penghantaran awal seperti di Selangor berikutan kes yang tinggi dan untuk mempercepatkan proses vaksinasi.

“Bagi negeri lain, kita perlu tunggu seperti yang telah dimaklumkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin yang akan bermula pada 1 Ogos nanti,” katanya.

Bagaimanapun, Zulkarnain berkata, kesemua kerajaan negeri yang ingin membeli vaksin Sinovac daripada Pharmaniaga perlu menepati syarat harga siling, garis panduan dan syarat penjualan yang telah ditetapkan oleh JKJAV dan Kementerian Kesihatan yang akan diumumkan minggu depan.

Selain menyediakan vaksin di Malaysia, katanya Pharmaniaga turut melihat kepada model perniagaan pasaran eksport berikutan telah menerima panggilan dan permintaan termasuk dari negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Kemboja dan Thailand untuk vaksin tersebut.

Zulkarnain menjelaskan bahawa negara-negara tersebut amat memerlukan vaksin berikutan mereka tidak boleh mendapat pesanan mereka tepat pada waktunya atau tidak boleh mendapat bekalan vaksin yang mencukupi.

“Kami (Pharmaniaga) bernasib baik berikutan kami merancang lebih awal untuk memastikan terdapat vaksin yang mencukupi untuk kerajaan Persekutuan, bekalan tambahan untuk kerajaan negeri dan sektor swasta (pada masa itu Sinovac belum diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia),” katanya.

Beliau berkata, syarikat farmaseutikal itu kini dalam perbincangan dengan Sinovac Biotech Ltd untuk membekalkan dan mengedarkan vaksin Sinovac ke negara-negara lain.

“Ini adalah strategi yang akan kami teruskan dan sudah tentu, ini akan memberi impak kepada pendapatan dan keuntungan kami jika kami dapat menjual vaksin Sinovac ke negara-negara asing.

“Bagaimanapun, perkara utama sekarang ialah memastikan semua rakyat Malaysia mendapat vaksinasi berikutan penduduk adalah keutamaan tertinggi kami,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X