PETRONAS, Petros perluas perkongsian percepat Pelan Hala Tuju Gas Sarawak
28 Okt 2022
PETRONAS menandatangani dua perjanjian utama dengan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) berhubung peluang kerjasama di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak yang akan membantu mempercepatkan aspirasi kedua-dua pihak untuk mengembangkan industri tenaga negeri itu secara mapan.
Menurut syarikat petroleum nasional itu, perjanjian pertama ialah perjanjian utama (HoA) untuk memperluaskan penggunaan gas asli di dalam negeri bagi membekalkan 60 MMscfd gas bermula 2026 kepada stesen janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan 400 MW di Miri.
Katanya, ia adalah susulan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Disember 2021 berkaitan dengan jumlah semakan bekalan gas asli ke Sarawak untuk pelaksanaan projek di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.
“Sehubungan dengan itu, PETRONAS akan membangunkan sumber gas baharu serta infrastruktur luar pesisir dan darat yang berkaitan untuk menyokong bekalan gas tambahan. Ini menandakan permulaan pembangunan Hab Miri seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju berkenaan.
“Selain HOA, PETRONAS dan PETROS juga akan bekerjasama rapat untuk mewujudkan penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) sebagai peluang perniagaan baharu melalui kajian pelan hala tuju ekosistem CCS, dalam meletakkan Sarawak sebagai hab pensekuesteran serantau.
“Kedua-dua pihak juga akan berusaha untuk memupuk penyertaan syarikat Sarawak dan pembangunan bakat tempatan dalam bidang baharu itu,” katanya dalam kenyataan.
Menurut PETRONAS, untuk memformalkan perkara itu, satu perjanjian kerjasama bersama (JCA) telah dimeterai untuk memudahkan pengawasan pembangunan CCS dan operasinya di Sarawak, ketika industri beralih ke arah masa depan rendah karbon.
Katanya, kedua-dua HOA dan JCA telah ditandatangani pada 19 Oktober lalu pada majlis memperingati ulang tahun kelima PETROS.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan PETRONAS, Datuk Adif Zulkifli berkata: “Sebagai rakan kongsi jangka panjang Sarawak, PETRONAS terus memainkan peranannya dalam membangunkan industri minyak dan gas yang mapan dan progresif dalam landskap peralihan tenaga, melalui projek kelas dunia seperti pembangunan gas Kasawari yang merangkumi aplikasi teknologi pensekuesteran karbon.
“Pada masa sama, PETRONAS terus menarik pelaburan baharu ke dalam sektor huluan untuk menyokong peningkatan permintaan gas seperti yang dibayangkan dalam Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.
Pada majlis yang sama, PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB), anak syarikat milik penuh PETRONAS memeterai Perjanjian Farm Out dengan Petroleum Sarawak Exploration and Production Sdn Bhd (PSEP), anak syarikat milik penuh PETROS untuk penjualan PCSB 45 peratus daripada kepentingan penyertaan bukan operasi dalam Blok SK407 PSC.
Sumber: Berita Harian