B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Peserta automotif tempatan yakin TIV 2020 boleh lepasi 500,000 unit

Peserta automotif tempatan yakin TIV 2020 boleh lepasi 500,000 unit

31 Dis 2020

Peserta ekosistem automotif tempatan, merangkumi pembekal dan pengedar bebas, yakin jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) tahun ini akan melebihi ambang minimum 500,000 unit meskipun menghadapi ketidakpastian berikutan pandemik COVID-19.

Presiden Persatuan Pembekal Perodua (P2SA), Musa Zahidin Ahmad Zaidee yakin dengan sentimen itu walaupun industri tidak beroperasi buat sementara bagi tempoh Mac hingga Mei tahun ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik.

“Pembekal tempatan bimbang TIV tahun ini akan susut di bawah 500,000 unit yang akan memberi risiko kepada ahli kami memandangkan mereka membekalkan komponen automotif dalam satu bentuk atau yang lain kepada banyak peserta pasaran ini,” katanya kepada Bernama dalam kenyataan hari ini.

Belia berkata keadaan tersebut boleh mengakibatkan pemberhentian kerja sementara dalam ekosistem ini.

P2SA mempunyai 129 ahli dan menggaji hampir 50,000 pekerja di seluruh negara, katanya.

Beliau berkata selain membekalkan komponen kepada pembuat peralatan tulen (OEM), ahli P2SA juga membuat alat ganti untuk industri automotif Malaysia.

TIV Malaysia mencecah 454,708 unit kenderaan bagi tempoh Januari hingga November 2020.

Musa Zahidin berkata walaupun angka itu adalah 17.2 peratus lebih rendah daripada 549,439 unit yang dijual pada tempoh yang sama 2019, namun industri hanya memerlukan 45,000 unit sahaja lagi untuk merekodkan TIV 500,000 unit sebelum tahun ini berakhir.

Lanjutan pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun, 2021 dari 31 Dis, 2020 seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini turut akan membantu melonjakkan jualan kenderaan baharu dalam keadaan pandemik.

“Kami bersyukur apabila Perodua mampu mencatatkan peningkatan semula yang kukuh dan pantas selepas PKP ditarik balik pada Mei, malah syarikat ini juga mencatatkan beberapa pencapaian sejak beberapa bulan lepas, dalam aspek jualan dan pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata ini merupakan pencapaian cemerlang syarikat itu memandangkan Perodua ialah pembeli komponen automotif tempatan terbesar.

“Malah, pada Oktober, Perodua melakukan pembelian terbesar dalam sejarah Malaysia bagi komponen automotif bersumber tempatan dalam tempoh sebulan, iaitu bernilai RM600 juta,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengedar Perodua Malaysia, Khairul Nizam Ayob yang turut senada dengan Musa Zahidin berkata pengedar bebas juga merasa lega memandangkan jumlah jualan memberi impak positif kepada mereka apabila pekerjaan dapat dikekalkan selain untuk membayar kos overhed tahun ini.

“Ahli kami bekerjasama rapat dengan prinsipal kami untuk menjual sebanyak mungkin kereta tahun ini memandangkan kami menyedari pelanggan mahu memanfaatkan insentif pengecualian cukai jualan yang diberikan kerajaan untuk memacu industri automotif.

“Jualan Perodua yang memberangsangkan selama beberapa bulan lepas adalah bukti komitmen kami untuk menjual sebanyak mungkin kenderaan tahun ini bagi manfaat dan kepuasan pelanggan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon