B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Momentum dagangan dua hala Ukraine-Malaysia kekal kukuh

Momentum dagangan dua hala Ukraine-Malaysia kekal kukuh

31 Dis 2020

Momentum perdagangan dua hala Ukraine dengan Malaysia kekal kukuh sepanjang 2020 walaupun di sebalik kelembapan ekonomi global dan sekatan disebabkan COVID-19, kata Duta Ukraine ke Malaysia, Olexander Nechytaylo.

Beliau berkata dagangan dua hala Ukraine-Malaysia tahun ini menyaksikan peningkatan walaupun terdapat penurunan dalam pembangunan ekonomi global dan gangguan rantaian bekalan.

“Dagangan dua hala Ukraine dengan negara-negara lain di rantau (ASEAN) umumnya menurun (disebabkan COVID-19), tetapi kami mengekalkan momentum dengan Malaysia.

“Dalam sembilan bulan pertama 2020, dagangan dua hala antara kedua-dua negara hampir mencapai US$310 juta (RM1.251 bilion), menunjukkan kenaikan lima peratus dibandingkan dengan tempoh sama pada 2019,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.

Ujar Nechytaylo tahun ini, Ukraine meningkatkan eksport gandum ke Malaysia sebanyak 200 peratus selain menjadi pembekal tanaman bijirin kedua terbesar ke Malaysia.

Katanya, Ukraine kekal pembekal utama minyak bunga matahari, 47 peratus pasaran minyak itu di Malaysia berasal dari Ukraine.

“Untuk mengimbangi dagangan dua hala, kami juga meningkatkan sebanyak 50 peratus import minyak sawit dari Malaysia dibandingkan dengan tempoh sama tahun lalu (2019),” katanya, sambil menambah Ukraine ketika ini ialah pengimport minyak sawit Malaysia keempat terbesar di Eropah.

Menurut Perkhidmatan Statistik Ukraine, Malaysia kekal sebagai rakan dagang ketiga terbesar Ukraine di ASEAN.

“(Kami) melihat potensi besar untuk kukuhkan hubungan dua hala dengan Malaysia, kami akan terus memperluas bidang kerjasama,” tambahnya.

Pada tahun ini juga, Nechytaylo berkata Ukraine membuka konsulat di Georgetown, Pulau Pinang.

“Pelabuhan Pulau Pinang satu daripada pintu masuk utama barang-barang Ukraine ke Malaysia. Jumlah warga Ukraine tinggal di Pulau Pinang kedua terbesar selepas Kuala Lumpur, ”katanya.

Menurutnya, tahun depan bakal menjadi tahun penting buat Ukraine kerana negara itu akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-30 pada 24 Ogos 2021.

“Kami berharap pertemuan Jawatankuasa Perdagangan Bersama antara Malaysia dan Ukraine yang dipengerusikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Pembangunan Ekonomi dan Perdagangan Ukraine akan berlangsung tahun depan.

“Ini akan mewujudkan langkah baharu untuk hubungan dagangan lebih bermanfaat dan aktif antara kedua-dua negara,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon