B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pertumbuhan KDNK dua digit tunjukkan trajektori pemulihan berkesan

Pertumbuhan KDNK dua digit tunjukkan trajektori pemulihan berkesan

13 Ogo 2021

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 16.1 peratus tahun ke tahun bagi suku kedua 2021 menunjukkan ekonomi terus berada di landasan pemulihan, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, pertumbuhan pada suku kedua 2021 itu dicapai selepas penguncupan yang lebih kecil pada kadar 0.5 peratus dicatatkan semasa suku pertama 2021 berbanding kemerosotan 3.4 peratus ketika suku keempat 2020.

“Dari segi enam bulan pertama tahun ini, KDNK meningkat sebanyak 7.1 peratus, berbanding penurunan 8.4 peratus dalam tempoh yang sama pada 2020,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, dari segi prestasi KDNK bulanan, pertumbuhan pada April dan Mei 2021 menunjukkan trend pemulihan yang kukuh dengan masing-masing menunjukkan peningkatan 40.1 peratus dan 19.8 peratus.

Pertumbuhan ini didorong oleh kesan asas yang rendah pada bulan-bulan yang sama pada 2020, katanya.

“Selain itu, pertumbuhan juga telah disokong oleh pelaksanaan pakej bantuan dan rangsangan sepanjang tempoh tersebut, iaitu Permai (Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia), Pemerkasa (Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi) dan Pemerkasa Tambahan bernilai RM75 bilion, dengan dilengkapi oleh langkah-langkah Belanjawan 2021 yang masih berlangsung,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, KDNK pada Jun mencatatkan penguncupan 4.4 peratus disebabkan oleh kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada pertengahan Mei, serta Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai awal Jun.

Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan PKP 1.0 tahun lepas, penurunan pada Jun 2021 adalah lebih kecil berbanding April 2020 iaitu -28.8 peratus, katanya.

Beliau berkata, walaupun terdapat beberapa halangan berikutan peningkatan semula kes Covid-19 menjelang akhir suku kedua, indikator ekonomi utama telah menunjukkan tanda pemulihan yang menggalakkan.

“Ini termasuk peningkatan 1.4 peratus bagi Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada Jun 2021 serta kenaikan 6.5 peratus nilai jualan sektor pembuatan bagi Jun 2021 kepada RM124.4 bilion”, katanya.

Tambah beliau, indikator ekonomi utama lain adalah peningkatan sebanyak 20.5 peratus bagi pendapatan sektor perkhidmatan, kepada RM404.5 bilion pada suku kedua 2021, di mana setiap segmen dalam sektor tersebut menunjukkan tanda pemulihan manakala pendapatan e-dagang meningkat 23.3 peratus kepada RM267.6 bilion susulan urus niaga e-dagang daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan yang meningkat.

Tengku Zafrul berkata. dari segi pasaran modal pula, secara keseluruhannya, keyakinan pelabur kekal kukuh, dipacu oleh pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia oleh tiga agensi penarafan kredit global utama iaitu S&P, Moody’s dan Fitch.

Menurutnya, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 2.1 peratus dalam tempoh suku kedua 2021, disokong oleh penyertaan pelabur runcit, dengan jumlah pelaburan bersih RM9.4 bilion setakat ini bagi 2021.

Selain itu katanya, penyertaan yang lebih tinggi daripada pelabur runcit dalam industri pengurusan dana terus direkodkan dengan Nilai Aset Bersih (NAV) segmen unit amanah meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada RM531.8 bilion pada akhir Jun 2021 dan ini menyumbang 30.5 peratus kepada jumlah permodalan pasaran Bursa Malaysia.

“Pelabur asing kekal yakin terhadap pasaran bon ringgit. Dalam tempoh separuh pertama 2021, sejumlah RM24.5 bilion aliran masuk bersih telah direkodkan, dengan kira-kira 60 peratus merupakan langganan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

“Pegangan asing dalam bon Kerajaan Malaysia juga meningkat pada kadar terpantas dalam tempoh lima tahun kepada RM223 bilion, atau 25.1 peratus daripada jumlah terkumpul. Ini merangkumi RM192.1 bilion dalam bentuk MGS dan RM30.8 bilion dalam bentuk Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII),” katanya.

Menteri Kewangan itu memberitahu, ekonomi Malaysia dijangka pulih secara beransur-ansur susulan pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan kejayaan mencapai nilai ambang yang ditetapkan mengikut Pelan Pemulihan Negara bagi setiap negeri.

Beliau berkat,a keadaan ini seterusnya akan membolehkan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih luas, dan setakat ini, enam negeri telah beralih ke Fasa Dua manakala dua negeri serta Wilayah Persekutuan Labuan berjaya beralih ke Fasa Tiga.

Setakat ini, lebih 70 peratus populasi dewasa di Malaysia telah menerima satu dos vaksin justeru, pada kadar ini, 80 peratus populasi dewasa di Lembah Klang, dan 50 peratus populasi dewasa Malaysia dijangka lengkap divaksin menjelang akhir Ogos.

Pada Jumaat, Bank Negara Malaysia mengumumkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 16.1 peratus pada suku kedua 2021 tahun-ke-tahun berbanding dengan -0.5 peratus pada suku pertama, disokong terutama oleh permintaan domestik yang bertambah baik serta prestasi eksport yang terus kukuh.

Prestasi itu berbeza dengan penguncupan 17.1 peratus pada suku kedua tahun lepas susulan kesan langkah sekatan pergerakan apabila Covid-19 melanda negara.

Bank pusat menjelaskan pertumbuhan kukuh itu menunjukkan asas yang rendah susulan penyusutan ketara aktiviti pada suku kedua 2020.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon