B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


KLIA, LGK lapangan terbang No.1 dunia pada suku kedua tahun ini

KLIA, LGK lapangan terbang No.1 dunia pada suku kedua tahun ini

13 Ogo 2021

Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) adalah lapangan terbang No.1 dunia pada suku kedua tahun ini dalam kategori masing-masing dalam kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) global terkini oleh Majlis  Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI).

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata kedua-dua lapangan terbang itu mendapat skor penuh 5.0/5.0 dalam kaji selidik industri itu yang menjadi penanda aras lapangan terbang terbaik dunia dari segi kemudahan dan standard perkhidmatan.

KLIA sebelum ini di tempat kesembilan, mendapat skor 4.99/5.0 pada suku pertama dalam kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa) manakala LGK di tempat ketiga dengan skor 4.97/5.00 dalam kategori dua hingga lima mppa.

“Di KLIA, keputusan amat baik ini menjadi bukti kepada usaha syarikat yang terus mengekalkan perkhidmatan luar biasa dan melaksanakan langkah-langkah keselamatan selain ia bersedia untuk penyambungan semula perjalanan.

“Inisiatif utama yang menyumbang kepada peningkatan prestasi termasuklah pelaksanaan ketat prosedur operasi standard (SOP) perjalanan baharu yang meningkatkan pengalaman perjalanan yang selamat dan pembukaan 64 tandas yang baru diubahsuai untuk keselesaan penumpang yang berterusan,” kata Ketua

Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dalam kenyataan.

Beliau berkata suasana terminal LGK yang segar dan bertambah baik, hasil daripada inisiatif penetapan semula komersial yang berjaya, terus menyumbang kepada kepuasan penumpang secara keseluruhannya yang transit di terminal tersebut.

Mohd Shukrie berkata pengendali lapangan terbang itu telah menyaksikan aliran meningkat secara beransur-ansur dalam jumlah penumpang dengan mencatatkan kenaikan sebanyak 35 peratus daripada bulan sebelumnya untuk pertumbuhan trafik secara keseluruhannya pada Julai.

Bulan lepas, kumpulan lapangan terbang itu mengatasi paras tiga juta sebanyak 3.3 juta jumlah pergerakan penumpang untuk rangkaian lapangan terbangnya buat kali pertama pada tahun ini dengan majoriti trafik disumbangkan oleh asetnya di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISG).

Di peringkat tempatan, MAHB  mencatatkan peningkatan hampir 40 peratus dalam jumlah pergerakan penumpang sebanyak 260,000 (Antarabangsa: 72,000; Domestik: 188,000) pada bulan lepas berbanding Jun untuk rangkaian lapangan terbangnya di sini. 

“Walaupun terdapat sekatan perjalanan antara negeri, sempadan ditutup dan sekatan perjalanan yang lebih ketat di seluruh rantau berikutan penularan kes baharu, kenaikan marginal itu adalah positif untuk MAHB berikutan pengumuman kerajaan baru-baru ini yang memberikan fleksibiliti kepada mereka yang mendapat vaksinasi sepenuhnya untuk melakukan perjalanan antara negeri dan pembukaan semula pelancongan domestik dalam negeri yang sama (untuk negeri yang beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara) mulai 10 Ogos,” katanya.

Selain itu, MAHB turut menantikan projek perintis Pulau Langkawi yang mencontohi model sandbox Phuket dengan memberi vaksinasi kepada 80 peratus daripada jumlah penduduk di pulau itu sebagai langkah untuk membuka pulau tersebut kepada pelancong yang telah menerima vaksinasi sepenuhnya.

“Terdapat juga kemungkinan aktiviti pelancongan domestik di seluruh Malaysia disambung semula pada September yang akan memberikan rangsangan yang amat diperlukan kepada lapangan terbang, rakan kongsi syarikat penerbangan dan industri pelancongan,” kata Mohd Shukrie.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon