B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pertumbuhan e-dagang Malaysia di kedudukan pertama dalam kalangan anggota RCEP – Deloitte

Pertumbuhan e-dagang Malaysia di kedudukan pertama dalam kalangan anggota RCEP – Deloitte

14 Dis 2021

Pertumbuhan e-dagang Malaysia menduduki tempat pertama dalam kalangan negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dalam laporan terkini Deloitte bertajuk ‘Technology-empowered Digital Trade in Asia Pacific’.

Deloitte dalam satu kenyataan hari ini berkata, saiz pasaran e-dagang Malaysia berjumlah AS$6.297 bilion, mewakili 61.4 peratus daripada saiz pasaran e-dagang di China dan disenaraikan dalam kalangan pasaran membangun selepas Indonesia dan Thailand.

Penyedia perkhidmatan audit, perundingan, cukai dan nasihat itu berkata Malaysia juga mencatatkan kadar penembusan tertinggi bagi pendigitalan jualan e-dagang rentas sempadan pada 65.7 peratus.

Bagaimanapun, keseluruhan e-dagang rentas sempadan negara dihadkan oleh faktor-faktor seperti prasarana logistik rentas sempadan dan operasi teknikal yang menjejaskan pembangunannya.

“Ketika ini, penggunaan rentas sempadan hanya menyumbang 42 peratus daripada saiz pasaran ekonomi Internet di Malaysia, yang lebih rendah berbanding pasaran matang dalam kalangan anggota RCEP,” katanya.

Deloitte mengkategorikan Malaysia bersama dengan Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina sebagai pasaran membangun selepas China, Korea Selatan, Singapura dan Jepun yang merupakan antara pasaran matang.

Pasaran peringkat awal ialah Myanmar, Kemboja, Laos dan Brunei.

Deloitte percaya rantau ini bakal memasuki era emas bagi perdagangan digital dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Peningkatan berterusan prasarana digital akan menyelesaikan secara efektif dua kekangan utama yang memberi kesan kepada perdagangan rentas sempadan iaitu logistik dan pembayaran.

“Teknologi blockchain juga mewujudkan ruang baharu imiginasi bagi perdagangan digital,” katanya.

Selain itu, prasarana kritikal seperti 5G akan membantu membina platform pengedaran data dan seni bina rangkaian baharu dan memudahkan Internet of Everything (IoE).

“Pengumpulan meluas data raya ditambah dengan kecerdasan buatan (AI) juga akan memainkan peranan utama dalam membuat keputusan yang bijak,” katanya.

Peningkatan perusahaan mikro-multinasional (mMNEs) telah menjadi pemacu utama di sebalik transformasi perdagangan digital di Asia Pasifik.

mMNEs menyediakan ‘produk buatan tempatan’ yang dipelbagaikan dan perkhidmatan penyesuaian ringan bagi pembeli global selain menyumbang lebih 85 peratus daripada aktiviti e-dagang rentas sempadan Asia Pasifik.

Sementara itu, WorldFirst, perniagaan pembayaran antarabangsa utama dengan lebih 40 peratus bahagian pasaran di China, Jepun dan Korea menganggap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi di rantau ini.

“Dengan sokongan prasarana jualan dan pembayaran dalam talian rentas sempadan dan RCEP mula berkuat kuasa tahun depan, PKS di rantau ini akan dapat bertapak kukuh dalam perdagangan rentas sempadan,” kata Ketua WorldFirst di China Frankie Fan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X