B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pertumbuhan dua angka eksport E&E diunjurkan berterusan pada 2021

Pertumbuhan dua angka eksport E&E diunjurkan berterusan pada 2021

06 Apr 2021

Pertumbuhan dua angka yang dicatatkan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) dijangka berterusan pada Mac dan bulan-bulan seterusnya tahun ini, didorong unjuran lebih baik bagi persekitaran luaran pasca-COVID-19.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata eksport E&E berkembang 13.1 peratus pada Januari 2021 dan pengembangan itu berlanjutan pada Februari 2021 dengan mencatatkan pertumbuhan 24.4 peratus.

Beliau berkata permintaan terhadap E&E dijangka kekal tinggi, berlandaskan unjuran pertumbuhan kukuh 2021 bagi jualan produk dan perolehan global, dengan infrastruktur teknologi maklumat pada 6.2 peratus, telefon pintar (11.4 peratus) dan pengkomputeran awan (18.4 peratus).

“Permintaan global yang teguh terhadap produk E&E akan menyokong pertumbuhan pengeluaran dan eksport E&E tempatan, memandangkan enam daripada 12 syarikat semikonduktor terbesar dunia dan tiga daripada sembilan syarikat diod pemancar cahaya (LED) utama global beroperasi di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) di sini, pada Selasa.

Terdahulu, dalam ucapannya, Lim berkata industri E&E akan terus menjadi pemacu utama pembangunan perindustrian dan menyumbang secara ketara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, pendapatan eksport, pelabiran dan pekerjaan sejak 50 tahun lepas.

Meskipun 2020 merupakan satu tempoh yang mencabar berikutan kesan akibat pandemik COVID-19 namun, Malaysia mencatatkan perdagangan keseluruhan produk E&E bernilai RM638.9 bilion, dengan eksport meningkat 3.5 peratus kepada RM386.1 bilion manakala import menokok kepada RM252.8 bilion.

Rakan dagang utama bagi produk E&E ialah China, Singapura, Amerika Syarikat, Hong Kong dan Taiwan.

Dari segi produktiviti, subsektor E&E mencatatkan pertumbuhan produktiviti 4.5 peratus pada 2020, yang tertinggi antara sembilan subsektor utama.

Pelaburan yang diluluskan untuk sektor E&E pada 2020 berjumlah 148 projek dan bernilai RM15.6 bilion, dengan projek-projek ini diunjurkan menciptakan 19,541 pekerjaan.

Lim berkata entiti asing menyumbang sebahagian besar daripada nilai pelaburan keseluruhan pada RM13.5 bilion (86.5 peratus), sementara pelaburan domestik pula bernilai RM2.1 bilion (13.5 peratus).

Beliau berkata justeru, keyakinan pelabur asing untuk meraih peluang pelaburan di Malaysia, dengan syarikat E&E sedia ada terus memperluas dan mempelbagaikan operasi mereka, adalah bukti keyakinan yang berterusan mereka terhadap persekitaran pelaburan negara.

Mengenai penubuhan MSIA, beliau berharap persatuan itu boleh membantu kerajaan mempertingkatkan industri E&E dari segi penyelidikan dan pembangunan; reka bentuk dan fabrikasi semikonduktor.

Penubuhan MSIA akan amat membantu Neksus Produktiviti E&E dan Perbadanan Produktiviti Malaysia dalam memperkukuh ekosistem E&E yang berdaya tahan dan pesat untuk menyokong Aspirasi Pelaburan Nasional Malaysia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon