B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Perniagaan Malaysia jangka catat kembali keberuntungan sebelum COVID-19 pada akhir 2022

Perniagaan Malaysia jangka catat kembali keberuntungan sebelum COVID-19 pada akhir 2022

01 Dis 2020

Perniagaan Malaysia dapat mengharungi cabaran semasa dengan agak baik dan dijangka kembali mencatatkan tahap keberuntungan seperti sebelum pandemik Covid-19 pada akhir 2022.

Kaji selidik global oleh HSBC, Navigator: Now, Next and How yang turut membabitkan 200 syarikat di Malaysia mendapati, 76 peratus daripada mereka menjangkakan tahap keberuntungan sebelum pandemik dapat direkodkan semula pada penghujung 2022.

Manakala enam peratus sudah mencatatkan jualan melebihi paras sebelum pandemik.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia Bhd, Stuart Milne berkata, peningkatan semula kes Covid-19, penurunan permintaan pengguna serta dasar perlindungan tidak menjejaskan kecenderungan kebanyakan perniagaan Malaysia untuk melabur bagi tujuan berkembang.

“Perniagaan Malaysia kekal yakin meskipun tahun ini menjadi tempoh dengan keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kira-kira 74 peratus perniagaan Malaysia mengalami perubahan dalam tempoh 12 bulan lalu dan memandang ke hadapan, perniagaan Malaysia melihat inovasi dan kerjasama sebagai dua ciri utama bagi kejayaan perniagaan masa depan,” katanya pada taklimat media secara maya mengenai kaji selidik itu semalam.

Laporan terkini oleh HSBC itu menilai sentimen perniagaan dan jangkaan terhadap aktiviti perdagangan serta pertumbuhan perniagaan, dengan mengkaji lebih 10,000 syarikat di 39 pasaran di dunia, termasuk 200 syarikat di Malaysia.

Beliau berkata, data kaji selidik itu menunjukkan keseluruhannya, perniagaan Malaysia lebih positif berbanding perniagaan setara serantau selain dapat mengharungi cabaran semasa dengan agak baik.

Bahagian perniagaan Malaysia (74 peratus) menjangkakan pertumbuhan pada tahun depan juga baik iaitu mengatasi purata Asia Pasifik (60 peratus) dengan tiga pemacu utama pertumbuhan perniagaan termasuk peningkatan permintaan domestik; memperluas kepada platform dan saluran digital baharu serta pengenalan produk dan perkhidmatan baharu.

Milne berkata, perniagaan di Malaysia juga mempunyai unjuran optimis apabila membabitkan perdagangan antarabangsa dengan 80 peratus syarikat mengunjurkan prospek perdagangan antarabangsa mereka bagi tempoh satu hingga dua tahun akan datang adalah positif.

Berasaskan pemeteraian (dan akhirnya ratifikasi) perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) baru-baru ini, HSBC menjangkakan perniagaan intra-Asia mengalami peningkatan, yang telah sedia lebih besar berbanding dengan perdagangan Asia dengan gabungan Amerika Utara dan Eropah.

Beliau berkata, peningkatan ini akan terus memperkasakan pertumbuhan ekonomi global dan membawa tarikan pusat ekonomi kepada Asia.

Source: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon