B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Perak rekod 294 projek diluluskan pada 2022 dengan jumlah pelaburan RM6.6 bilion

Perak rekod 294 projek diluluskan pada 2022 dengan jumlah pelaburan RM6.6 bilion

20 Mac 2023

Negeri Perak merekodkan sebanyak 294 projek yang diluluskan untuk sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan dengan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM6.6 bilion, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee.

Loh berkata projek-projek tersebut dijangka dapat mewujudkan 7,682 peluang pekerjaan baharu.

“Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan itu, sumber Pelaburan Langsung Domestik (DDI) mencatatkan RM4.32 bilion atau 65.5 peratus, manakala Pelaburan Langsung Aasing (FDI) sebanyak RM2.28 bilion atau 34.5 peratus,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Projek Naik Taraf Bangunan dan Pondok Kawalan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kawasan Perindustrian Bebas (FIZ) Jelapang di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Arham Abdul Rahman, Pengarah JKDM Perak Abdul Ghafar Mohamad dan Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.

Loh berkata pelaksanaan projek di Perak mencatat kadar peratusan sihat iaitu 76 peratus atau sebanyak 227 projek yang telah terlaksana dengan pemantauan MIDA dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak, Invest Perak serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurut beliau MIDA juga dipertanggungjawabkan menyelaras peruntukan geran untuk Program Menaik Taraf Infrastruktur Asas bagi Kawasan Perindustrian Berintegrasi Sedia Ada (projek infra) sejak RMK-9 sehingga RMK-12.

“Jumlah itu termasuk Kumpulan Wang Amanah COVID-19 (KWC-19) dengan jumlah peruntukan geran sebanyak RM424.75 juta dan melibatkan 542 projek infra di seluruh negara.

“Bagi negeri Perak, peruntukan sejumlah RM31.49 juta telah diluluskan untuk 45 projek termasuk projek naik taraf bangunan dan pondok kawalan KDRM di Jelapang ini,” katanya.

Sementara itu katanya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menerima peruntukan geran daripada MIDA sebanyak RM540,172.00 bagi melaksanakan projek menaik taraf bangunan dan pondok kawalan kastam di FIZ, Jelapang.

Projek naik taraf tersebut membabitkan penyediaan kemudahan infrastruktur kepada pihak kastam selaku agensi pengawal aktiviti pengoperasian industri di kawasan FIZ, Jelapang.

Pelaksanaan projek yang siap sepenuhnya November tahun lalu itu memberi kemudahan dan keselesaan kepada pihak JKDM dan warga kota yang berurusan dengan pihak berkuasa tersebut.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon