B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Syarikat pemula UK beri pendedahan amalan global terbaik kepada Malaysia – Rafizi

Syarikat pemula UK beri pendedahan amalan global terbaik kepada Malaysia – Rafizi

20 Mac 2023

Syarikat pemula niaga United Kingdom (UK) mampu memberi pendedahan amalan terbaik global kepada Malaysia selain mewujudkan persaingan sihat serta tekanan bagi menggalakkan firma tempatan melakukan inovasi, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata kalangan belia Malaysia juga dapat menyelami bagaimana syarikat pemula yang mempunyai idea, saiz dan operasi serba sama namun berupaya melaksanakan inovasi bagi mewujudkan perubahan.

“Ini akan memberi mereka keyakinan diri yang diperlukan serta ciri-ciri untuk bangkit dan menyerlah dengan cara sendiri.

“Apa yang kerajaan boleh janjikan adalah memastikan pintu kita sentiasa terbuka kepada bantuan pihak luar — menerusi pelaburan, kemahiran serta peluang saling menguntungkan dan mewujudkan satu ekosistem yang menyokong model pertumbuhan berteraskan inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada acara Hari Demo Program Inovasi Digital UK-Malaysia di sini, hari ini.

Pada acara itu, sebanyak 10 syarikat pemula sifar bersih UK membentangkan idea teknologi masing-masing bagi merebut peluang pelaburan sehingga US$1 juta dan menyertai makmal Sunway Innovation Labs (Sunway iLabs), sebuah program pemecut bagi syarikat pemula baharu.

Sementara itu bercakap pada majlis sama, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia David Wallace berkata usaha menghubungkan perniagaan teknologi digital UK dengan korporat terkemuka di Malaysia dan menggabungkan kekuatan serta sumber sokongan akan membolehkan program tersebut menjadi pemangkin bagi aspek perkongsian dan pelaburan komersial.

“Perdagangan dua hala UK dengan Malaysia berjumlah £5.9 bilion ((£1=RM5.45) dengan digital, teknologi dan siber sebagai sektor pertumbuhan terpantas,” katanya.

Malah, program pemecut itu akan membolehkan syarikat teknologi UK berhubung dan meninjau peluang dengan ekosistem teknologi lebih meluas di Malaysia.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Sunway iLabs yang juga cabang inovasi Sunway Group), MyDigital Corporation dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta dijayakan oleh loT Tribe.

“Di bawah program ini, syarikat pemula UK dapat merintis dan meningkatkan penyelesaian inovatif mereka bersama syarikat Malaysia bagi pendigitalan sistem analog serta menggunakan Internet Pelbagai Benda dan kecerdasan buatan dalam mengoptimumkan penggunaan tenaga dan meningkatkan jaminan makanan.

“Inisiatif ini akan turut merealisasikan cita-cita digital Malaysia sebagai sebuah negara yang digital sepenuhnya sebagaimana digariskan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan dasar Revolusi Perindustian 4.0,” kata kenyataan daripada Suruhanjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon