B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Penubuhan JETCO membuahkan hasil, bantu tarik pelaburan ke Johor

Penubuhan JETCO membuahkan hasil, bantu tarik pelaburan ke Johor

08 Dis 2022

Penubuhan Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura pada tahun ini telah membuahkan hasil apabila turut menyumbang dalam menarik pelaburan langsung asing ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Lee Ting Han berkata ia turut dibantu melalui kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Johor.

Katanya menerusi JETCO, sebanyak 15 siri perbincangan dengan pelbagai agensi di Singapura telah diadakan dan tiga siri lawatan suai kenal melibatkan ahli perniagaan dari Singapura ke Johor telah dianjurkan.

Setakat Jun lepas, katanya sebanyak RM6.668 bilion jumlah pelaburan dalam sektor pembuatan telah direkodkan dan RM5.65 bilion daripadanya adalah pelaburan langsung asing (FDI).

“Daripada RM5.65 bilion itu, RM3.968 adalah pelaburan dari Singapura dengan kebanyakannya dalam elektrik dan elektronik (E&E) serta peralatan perubatan.

“Saya percaya ini antara kejayaan JETCO dan pada tahun depan, kerajaan negeri akan lebih giat dalam menarik pelaburan dari luar termasuk Singapura,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Lee (BN-Paloh) menjawab soalan tambahan daripada R. Vidyananthan (BN-Kahang) mengenai keberkesanan JETCO dalam membawa pelaburan dari Singapura ke Johor dan jumlah pelaburan yang telah dibawa oleh agensi itu.

Ketika menjawab soalan lisan daripada Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Benut), beliau berkata agensi itu telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menarik lebih banyak peluang pelaburan dan kerjasama menerusi usaha sama pintar bersama agensi-agensi berkaitan dari Singapura.

Selain itu, katanya JETCO juga telah menyertai tiga ekspo berkaitan perdagangan dan pelancongan di Singapura.

“Semua usaha yang telah dilaksanakan ini dilihat dapat memberi impak yang amat positif dan memberangsangkan,” kata Lee.

Terdahulu, bekas Menteri Besar Johor itu ingin tahu mengenai inisiatif yang bakal dilaksanakan JETCO di republik itu terutamanya dalam melipatgandakan peluang kerjasama Johor-Singapura dalam bidang pembangunan mampan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon