B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia raih US$5 bilion pelaburan berkaitan kesihatan pada 2008-2021 – ESCAP

Malaysia raih US$5 bilion pelaburan berkaitan kesihatan pada 2008-2021 – ESCAP

07 Dis 2022

Malaysia menerima sejumlah US$5 bilion (US$1=RM4.39) dalam pelaburan ‘greenfield’ (pembentukan operasi/gabungan baharu oleh syarikat antarabangsa) berkaitan kesihatan bagi tempoh 2008 hingga 2021, kata laporan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia Pasifik (ESCAP).

Dalam kenyataannya, ESCAP berkata laporannya bertajuk ‘Trend Perdagangan dan Pelaburan Asia Pasifik 2022/2023’ yang dikeluarkan baru-baru ini, menunjukkan Amerika Syarikat (AS) sebagai pelabur terbesar dalam sektor kesihatan yang menyumbang 35 peratus daripada semua pelaburan berkaitan kesihatan pada 2008-2021 dan diikuti oleh Switzerland, Jepun, Jerman dan Perancis.

“China adalah penerima terbesar sebanyak US$33 bilion bagi tempoh sama dan diikuti dengan India (US$14 bilion), Singapura (US$9 billion) serta Malaysia (US$5 bilion),” katanya.

Menurut ESCAP, pandemik COVID-19 yang berterusan turut mendedahkan jurang kritikal dalam pelaburan sektor kesihatan di Asia Pasifik dengan pelaburan langsung asing (FDI) bagi sektor tersebut merosot sebanyak 45 peratus bagi tempoh 2019-2020.

Malah, FDI bagi sektor kesihatan terus susut sehingga 34 peratus dalam tempoh tiga suku pertama 2022.
Selain itu, ESCAP berkata pertumbuhan perdagangan barangan serantau juga terhad pada tahun ini akibat permintaan yang lebih perlahan dalam separuh kedua 2022.

Sehubungan itu, ia menjangkakan perdagangan tersebut berjumlah US$19 trilion dengan eksport sebenar diunjur meningkat sebanyak 3.0 peratus manakala import menguncup sebanyak 0.3 peratus.

Berdasarkan andaian inflasi dapat dibendung secara berkesan pada 2023, ESCAP berkata perdagangan barangan serantau dijangka terus mencatat pertumbuhan yang sederhana pada tahun depan iaitu masing-masing eksport sebenar berkembang sebanyak 1.6 peratus manakala import pada 0.7 peratus.

Ia juga menyifatkan eksport dan import perkhidmatan di Asia dan Pasifik dijangka berkembang dan melepasi purata global iaitu masing-masing 8.7 peratus dan 9.8 peratus pada 2022, didorong oleh sektor pengembaraan yang memberangsangkan, peningkatan permintaan bagi perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi serta sektor pengangkutan yang kurang berdepan kekangan.

“Bagaimanapun bagi 2023, ESCAP mengunjurkan nilai sektor-sektor ini mencatat pertumbuhan kecil di bawah prestasi tahun ini iaitu masing-masing pada 7.5 peratus dan 5 peratus,” katanya.

ESCAP berkata pelaburan ‘greenfield’ di rantau ini juga kekal berdaya tahan dengan meningkat sebanyak 6.0 peratus tahun ini biarpun berdepan tekanan geopolitik dan ekonomi global.

“Untuk kali pertama, India mengatasi China apabila muncul sebagai destinasi terbesar dan sumber FDI ‘greenfield’ (US$60 bilion dari segi aliran masuk FDI dan keluar US$35 bilion),” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon