Peningkatan penyertaan tempatan dalam industri E&E mampu lonjakkan prestasi perdagangan - Mustapa - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Peningkatan penyertaan tempatan dalam industri E&E mampu lonjakkan prestasi perdagangan – Mustapa

Peningkatan penyertaan tempatan dalam industri E&E mampu lonjakkan prestasi perdagangan – Mustapa

12 Okt 2021

Peningkatan penyertaan dari kalangan syarikat tempatan dalam rantaian nilai industri elektrik dan elektronik (E&E) boleh melonjakkan lagi prestasi perdagangan Malaysia dan mengurangkan aliran keluar mata wang dalam bergerak ke hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sehingga kini, semakin banyak syarikat tempatan telah memulakan perniagaan mereka selepas memperoleh kemahiran teknikal dan pengetahuan semasa berkhidmat dengan syarikat multinasional (MNC).

“Sejak 50 tahun yang lepas, kita telah berjaya mewujudkan ekosistem E&E yang komprehensif, terutama untuk aktiviti pembuatan semikonduktor front-end hingga back-end. Sebahagian besar MNC telah memulakan operasi mereka di sini, termasuk syarikat gergasi industri seperti Intel dan ST Micro.

“Syarikat-syarikat Malaysia juga telah menjadi sebahagian daripada industri, menyediakan produk dan perkhidmatan yang diperlukan oleh MNC dan menjadi sebahagian daripada rantaian nilai global,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada penutupan Forum E&E Kebangsaan Malaysia 2021 yang diadakan secara maya hari ini.

Mustapa berkata pendedahan itu membolehkan pemain atau peserta Malaysia mengenal pasti peluang yang muncul dalam rantaian nilai E&E untuk menghasilkan keistimewaan mereka sendiri.

“Syarikat domestik kita telah memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dalam segmen automotif, pengguna, pengurusan tenaga, perindustrian dan perubatan.

Mereka menyediakan perkhidmatan reka bentuk dan kejuruteraan; penyelesaian yang boleh disesuaikan mulai dari reka bentuk litar bersepadu (IC), kejuruteraan dan ujian; pembungkusan IC; serta pembuatan modul, peranti sistem dan produk siap,” katanya.

Bagaimanapun, Mustapa berkata seperti yang diketengahkan dalam Aiming High Report Bank Dunia baru-baru ini, Malaysia perlu menangani beberapa isu ketika negara dalam peralihan ke arah negara berpendapatan tinggi.

“Isu-isu ini termasuk kadar pertumbuhan ekonomi yang agak lebih perlahan berbanding kebanyakan negara lain yang telah pun mencapai status berpendapatan tinggi dalam beberapa dekad sebelum ini,’’ katanya.

Sekiranya dibandingkan dengan negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Mustapa berkata nisbah cukai Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rendah, perlindungan sosialnya yang tidak mencukupi dan prestasi yang agak lemah dari segi langkah-langkah yang berkaitan dengan pengurusan alam sekitar dan rasuah.

“Keutamaan kita adalah untuk membina semula dengan lebih baik – membangunkan semula ekonomi Malaysia, menempatkan ekonomi Malaysia pada landasan yang lebih kukuh dan membina ekonomi yang lebih kompetitif. Ekonomi global kini mengalami perubahan material dalam perdagangan, perkhidmatan, perjalanan, maklumat dan teknologi.

“Khususnya, rantaian bekalan global disusun semula dengan penyerantauan (regionalisation) yang lebih luas berserta pelbagai sokongan (multi-shoring) bagi mendukung peningkatan fokus terhadap daya tahan. Penyusunan semula seumpama itu akan menghadirkan cabaran dan peluang untuk Malaysia – terutama dalam sektor yang fokus pada eksport seperti industri E&E yang maju,” katanya.

Beliau berkata bahawa Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) akan memberi tumpuan kepada industri berpotensi tinggi seperti sektor elektrik dan elektronik canggih untuk memacu ekonomi ke hadapan dan mewujudkan peluang ekonomi.

“E&E telah dikenal pasti berdasarkan prospeknya dalam menghasilkan aktiviti dan produk tambah nilai yang tinggi, penggunaan teknologi canggih, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi, pekerjaan berkemahiran tinggi serta sumbangan mereka dalam mencapai agenda hijau.

“Kejayaan kita dalam mentransformasikan sektor E&E adalah salah satu faktor penentu utama Malaysia mencapai status berpendapatan tinggi,” tambahnya.

Dalam tempoh lapan bulan pertama 2021, eksport produk E&E Malaysia meningkat 18.8 peratus kepada RM283 bilion.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon