B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pengeluaran getah asli meningkat 22.4 peratus pada Mei 2021 – Jabatan Perangkaan

Pengeluaran getah asli meningkat 22.4 peratus pada Mei 2021 – Jabatan Perangkaan

14 Jul 2021

Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 22.4 peratus pada Mei, 2021 kepada 28,164 tan metrik berbanding 23,013 tan metrik pada April 2021, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Perbandingan bagi tahun ke tahun turut meningkat kepada 33.8 peratus.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor kebun kecil merupakan penyumbang utama kepada pengeluaran getah asli iaitu 25,662 tan metrik (91.1 peratus), manakala sektor estet menyumbang 8.9 peratus daripada jumlah pengeluaran pada Mei 2021.

“Pengeluaran bulan ke bulan di sektor kebun kecil dan sektor estet masing-masing menunjukkan peningkatan sebanyak 24.7 peratus dan 3.0 peratus,” katanya dalam satu kenyataan mengenai statistik bulanan getah hari ini.

Bagaimanapun, katanya pengeluaran estet pada Mei 2021 adalah sebanyak 2,502 tan metrik dengan kadar pertumbuhan yang perlahan iaitu 3.0 peratus secara bulanan dengan keluasan ditoreh menyusut sebanyak 0.7 peratus.

Menurut Mohd Uzir, produktiviti pengeluaran getah asli di estet adalah 56.3 kilogram sehektar pada Mei 2021, menurun sebanyak 24.7 peratus berbanding Mei 2020.

Manakala, perbandingan bulan ke bulan pula menunjukkan produktiviti meningkat sebanyak 3.7 peratus dari 54.3 kilogram sehektar pada bulan sebelumnya.

“Dari segi harga purata lateks pekat merekodkan peningkatan kepada 636.76 sen sekilogram berbanding April 2021 (623.40 sen sekilogram),” katanya.

Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M. 20) turut menunjukkan peningkatan daripada 667.85 sen sekilogram kepada 686.09 sen sekilogram bagi tempoh yang sama.

Dalam pada itu, stok getah asli menurun 6.4 peratus pada Mei 2021 kepada 242,194 tan metrik berbanding 258,840 tan metrik pada April 2021, manakala stok di kilang pemprosesan getah menyumbang sebanyak 90.0 peratus dan selebihnya oleh kilang pengguna getah dan estet getah.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata jumlah penggunaan getah asli meningkat 4.1 peratus kepada 42,358 tan metrik berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Sebaliknya, perbandingan bulan ke bulan menunjukkan penggunaaan menurun sebanyak 10.0 peratus.

Penggunaan getah asli bagi sarung tangan getah adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 32,573 tan metrik atau 76.9 peratus daripada jumlah penggunaan domestic pada Mei 2021 diikuti benang getah 4,092 tan metrik (9.7 peratus) dan tayar dan tiub 2,267 tan metrik (5.4 peratus).

“Penggunaan getah asli dalam pembuatan sarung tangan getah pada Mei 2021 pula menurun sebanyak 6.2 peratus berbanding 34,709 tan metrik pada April 2021,” katanya.

Mohd Uzir berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,111 tan metrik pada Mei 2021, menurun 13.6 peratus berbanding 55,696 tan metrik pada April 2021.

“China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 54.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mei 2021 diikuti Jerman (4.1 peratus), Amerika Syarikat (3.1 peratus), Turki (2.8 peratus) dan Korea (1.6 peratus),” katanya.

Sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM5.5 billion pada Mei 2021, menurun sebanyak 17.4 peratus berbanding April 2021 (RM6.7 billion).

“Negara eksport utama sarung tangan getah ialah Amerika Syarikat dengan nilai RM2.0 bilion, Jerman (RM317.0 juta) dan India (RM154.8 juta),” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon