B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Firma AS pilih Malaysia bina kilang teknologi tinggi

Firma AS pilih Malaysia bina kilang teknologi tinggi

15 Jul 2021

Firma Amerika Syarikat (AS), Applied Engineering Inc (AE) dari San Jose, California menjalin usaha sama (JV) dengan QES Manufacturing Sdn Bhd (QES) untuk menyediakan perkhidmatan pengeluaran kontrak elektromekanik berteknologi tinggi di Malaysia dan Asia Pasifik.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, kedua-dua pihak memeterai perjanjian untuk menubuhkan syarikat usaha sama, Applied Engineering Technology (M) Sdn Bhd (AET) bagi menyediakan perkhidmatan pengeluaran kontrak teknologi tinggi itu darioada prototaip hingga pengeluaran berjumlah tinggi menerusi proses Pengenalan Produk Baharu (NPI) dan penyelesaian maju yang khusus.

“Operasi JV direka untuk memenuhi keperluan khusus pelanggan dalam segmen pasaran pembuatan peralatan semikonduktor, sains hayat dan peranti perubatan, pertahanan dan aeroangkasa bukan saja di Malaysia tetapi juga ke negara ASEAN dan China,” katanya dalam satu kenyataan.

Cadangan pelaburan awal bagi AET ialah kira-kira RM5 juta dan pelaburan dijangka meningkat sehingga RM20 juta dalam tempoh tiga tahun.

Syarikat itu dijangka memulakan operasinya di premis sementara sebelum berpindah ke kilang baharu di Taman Perindustrian Batu Kawan pada suku keempat 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman, berkata pejabat MIDA di San Jose bekerjasama rapat dengan AE sejak Disember 2019, sebelum AE dan QES memeterai memorandum persefahaman (MOU) pada Mei lalu.

Beliau berkata, JV itu sejajar dengan strategi MIDA untuk menarik syarikat teknologi tinggi melabur di negara ini dan memperluas hubungan domestik ke rantaian bekalan serantau dan global, seperti yang diinginkan oleh Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

“Kami bangga menyaksikan AE memilih Malaysia untuk pelaburan luar negara pertamanya,” kata Arham.

Sementara itu, Presiden AE, Jack Yao, berkata Malaysia akan menyediakan landasan pelancaran langkah strategik AE untuk berkembang di luar AS untuk melayani pelanggan utamanya di Malaysia dan Asia Pasifik.

Beliau berkata, AE akan membawa generasi teknologi canggih terbarunya ke Malaysia dan membangun sektor teknologi baharu.

“Sebilangan besar aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga dirancang untuk lokasi baharu ini. Malaysia dapat memanfaatkan kedudukannya sebagai negara teknologi dan mengukuhkan rantau ini sebagai hab pengeluaran berteknologi tinggi di Asia Pasifik,” katanya.

Presiden QES Group Bhd, Chew Ne Weng, pula berkata syarikat itu berharap dapat memanfaatkan kekuatan AE yang mampan dan teknikal untuk meningkatkan lagi kemampuan pembuatannya.

Usaha sama AE dengan QES itu dijangka mendapat manfaat pasaran ASEAN yang meluas dengan 662 juta penduduk dan projek itu juga akan mendapat manfaat daripada pelbagai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dan serantau.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X