Pembukaan semula ekonomi China, teknologi baharu rahmat kepada industri semikonduktor negara - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pembukaan semula ekonomi China, teknologi baharu rahmat kepada industri semikonduktor negara

Pembukaan semula ekonomi China, teknologi baharu rahmat kepada industri semikonduktor negara

27 Apr 2023

Industri semikonduktor negara dijangka berkembang dalam tempoh jangka panjang, dipacu terutamanya oleh permintaan daripada kemunculan teknologi baharu dan transformasi digital global serta pembukaan semula ekonomi utama seperti China.

Awal bulan ini, Malaysia menerima komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion dari China susulan permeteraian 19 memorandum persefahaman (MoU) antara perniagaan di kedua-dua negara.

Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Seri Wong Siew Hai berkata Malaysia perlu terus mengukuhkan ekosistem elektrik dan elektroniknya (E&E) dan merebut peluang yang muncul daripada konflik geopolitik Amerika Syarikat (AS)-China.

Malaysia, terutamanya perlu menarik pelaburan langsung asing dalam kemudahan fabrikasi wafer dan teknologi canggih, katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, Goon Koon Yin, ketua pegawai eksekutif TT Vision Holdings Bhd (penyedia peralatan pemeriksaan dalam industri semikonduktor), mengunjurkan kitaran menaik pelaburan dalam kalangan pengeluaran domestik di China susulan pembukaan semula sempada negara mereka yang membantu meningkatkan keyakinan perniagaan.  

“Lebih banyak perjalanan bermakna lebih banyak interaksi dengan pelanggan. Jadi akan ada lebih banyak perniagaan dan penyiapan projek akan dipercepatkan,” katanya. 

MIDF Research, menerusi laporannya dalam tinjauan suku kedua 2023 berkata pemulihan aktiviti pembuatan China dan peningkatan indeks pengurusan pembelian pada Mac menandakan kekuatan ekonomi negara tersebut. 

“China merupakan pengguna utama semikonduktor, dan penyambungan semula aktiviti ekonomi di negara itu dijangka meningkatkan permintaan terhadap peranti dan komponen elektronik,” kata laporan itu.  

Sementara itu Wong berkata Malaysia perlu memanfaatkan kepakaran tenaga kerja asing untuk menyokong pertumbuhan industri E&E di negara ini.

Beliau berkata strategi itu telah digunakan oleh banyak negara lain termasuk Amerika Syarikat, Singapura, England dan Australia. 

“Industri semikonduktor di Malaysia akan memerlukan banyak tenaga kerja manakala syarikat semikonduktor sedang menyusun semula dan mengurangkan saiz syarikat mereka daripada perspektif bilangan pekerja. 

“Tenaga kerja teknologi bukan hanya jurutera dan juruteknik sahaja. Tenaga kerja strategi dan sokongan seperti akauntan dan pakar rantaian bekalan juga diperlukan oleh industri,” katanya. 

Menurut laporan MIDF Research, tenaga kerja teknologi masih mendapat permintaan tinggi meskipun pemberhentian besar-besaran pekerja teknologi baru-baru ini yang menggusarkan pekerja dan pelabur. 

Kadar pemberhentian pekerja setiap bulan dalam syarikat teknologi sepanjang 2022 berlegar sekitar satu peratus daripada jumlah tenaga kerja atau sekitar 1.4 juta orang, yang lebih rendah daripada angka pra-pandemik.

“Walaupun kita mungkin tidak melihat peningkatan dalam keseluruhan pengambilan pekerja,  angka pekerjaan boleh terus meningkat, dan industri tertentu akan mencatatkan pertumbuhan yang luar biasa disokong oleh pendigitalan yang akan terus menembusi sektor perindustrian melangkaui barangan teknologi dan pengguna.

“Oleh itu, kami berpendapat bahawa pemberhentian pekerja dalam bidang teknologi hanya perlu dilihat sebagai pelarasan kecil dalam sektor itu,” kata firma penyelidikan itu. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon