B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pembukaan sempadan: Johor kembali jadi destinasi pilihan pelancongan kesihatan

Pembukaan sempadan: Johor kembali jadi destinasi pilihan pelancongan kesihatan

06 Apr 2022

Johor kembali menjadi destinasi pilihan sektor pelancongan kesihatan apabila mula menerima pesakit dari luar negara untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital di negeri ini, selepas sempadan antarabangsa negara dibuka.

Tidak terkecuali, Hospital Pakar KPJ Johor yang mula menerima pesakit dari Indonesia sebaik sempadan negara dibuka semula pada 1 April lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Azhar Abdullah berkata fasiliti dan perkhidmatan yang komprehensif merupakan antara faktor warga Indonesia memilih untuk menerima rawatan di hospital swasta itu.

Beliau berkata pihaknya menerima sehingga 10 pesakit daripada Indonesia setiap hari khususnya dari Batam dan Tanjung Pinang, sama ada untuk mendapatkan rawatan susulan selepas ditunda berikutan pandemik COVID-19 dan pesakit baharu.

“Servis kita antara yang komprehensif dan menyeluruh dengan pakar-pakar yang ada, itu yang membuatkan kita menjadi pilihan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital berkenaan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata Johor dan Indonesia sebenarnya mempunyai persamaan budaya, maka kebanyakan pelancong kesihatan yang datang berasa sangat selesa.

“Mereka berasa seperti berada di rumah, selain yakin dan mempunyai kepercayaan terhadap perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan di Hospital Pakar KPJ Johor,” katanya.

Beliau berkata perkhidmatan penghantaran pergi dan balik yang disediakan pihaknya sama ada ke hospital, hotel mahu pun destinasi lain yang ingin dituju pesakit, menjadi antara faktor hospital itu menjadi pilihan khususnya warga Indonesia.

Seorang pesakit dari Indonesia, Merina, 34, yang mengalami masalah bengkak di bahagian dada berkata dia memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital berkenaan kerana perkhidmatan dan layanan baik yang diberikan.

Wanita itu yang ditemani suami Gunawan, 34, berkata dia membuat temu janji dengan pihak hospital sebaik mengetahui sempadan Malaysia dibuka.

“Rakan di Batam beritahu bahawa perkhidmatan di hospital ini bagus termasuk doktor-doktor pakarnya…jadi saya terus buat janji temu untuk rawatan di hospital,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X