Pembangunan pendigitalan dalam pelan tindakan sektor perkhidmatan baharu satu keutamaan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pembangunan pendigitalan dalam pelan tindakan sektor perkhidmatan baharu satu keutamaan

Pembangunan pendigitalan dalam pelan tindakan sektor perkhidmatan baharu satu keutamaan

08 Dis 2020

Pembangunan pendigitalan dalam Pelan Tindakan Sektor Perkhidmatan Baharu 2021-2025 akan diberi keutamaan bagi melengkapkan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata semua program baharu berkaitan pelan tersebut akan menyokong dan melengkapkan semua inisiatif JENDELA sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, kerajaan juga telah merangka inisiatif JENDELA untuk meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan termasuk asas 5G.

“Ini akan dicapai melalui pendekatan secara berperingkat, bermula dengan inisiatif jangka pendek, memaksimumkan sumber dan infrastruktur yang sedia ada untuk memastikan rakyat mendapat sambungan jalur lebar yang maksimum,” jelas Azmin dalam ucapan pada Leadership and Digital Summit 2020: Go B.I.G with Digital, semalam.

“Infrastruktur teknologi tinggi yang diperlukan akan disediakan untuk mempercepatkan peralihan kita kepada teknologi tanpa wayar 5G,” tambah beliau lagi.

Menurut Azmin, pelaksanaan JENDELA ini tepat pada masanya yang mana akan menjadi pemangkin utama untuk mendorong negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.

Beliau berkata kerajaan memfokuskan tumpuan kepada peningkatan pelaburan langsung asing, menggalakkan produktiviti dan mengembalikan semula keyakinan pengguna.

“Memandangkan kepimpinan terus menjadi elemen penting dalam mana-mana organisasi, menyediakan pasukan untuk melaksanakan revolusi digital melalui inovasi teknologi hanya dapat dijalankan dengan jayanya melalui kepimpinan digital yang baik”.

“MITI akan terus memberikan dorongan dan kepimpinan untuk mengukuhkan industri, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menyokong mereka untuk memacu produktiviti dan memastikan kemampanannya,” katanya.

Selain itu, Azmin juga mengatakan bahawa Belanjawan 2021 adalah penting, dengan tumpuan jelas kepada pertumbuhan produktiviti melalui penggunaan teknologi digital dan The Fourth Industrial Revolution (IR 4.0).

Sebanyak RM 1 bilion diperuntukkan untuk Transformasi Pendigitalan Industri yang mana diambil kira cabaran, keperluan dan kebajikan semua masyarakat, industri dan perniagaan.

Di samping itu, dana tambahan bernilai RM 150 juta untuk Skim Geran Pendigitalan PKS dan Geran Automasi Pintar bagi memudahkan PKS mikro dan syarikat permulaan memacu pertumbuhan sektor ekonomi.

“Jelas, pendigitalan akan meningkatkan pertumbuhan produktiviti PKS di Malaysia dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang,” jelas Azmin.

Negara perlu selari dengan perkembangan teknologi untuk mempraktikkan cara baharu dalam menghasilkan barangan dan perkhidmatan ke arah yang lebih inovatif dalam menjalankan sesuatu perniagaan.

Source: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon