B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Industri Auto: Tahun cemerlang, didorong oleh insentif kerajaan

Industri Auto: Tahun cemerlang, didorong oleh insentif kerajaan

08 Dis 2020

Sektor automotif adalah antara yang menjana pulangan terbesar hasil daripada pelan rangsangan kerajaan, sekali gus menjadikan 2020 tahun cemerlang untuk segmen ini meskipun terdapat cabaran ekonomi yang belum pernah terjadi sebelumnya, berikutan pandemik COVID-19.

Sebalik segala rintangan ini, syarikat pengeluar domestik berjaya mengatasi unjuran pasaran yang dibuat daripada awal tahun dan mampu mencatatkan rekod peningkatan jualan, disokong oleh insentif kerajaan serta pelancaran model baharu sebagai pemacu pertumbuhan dalam jumlah jualan.

Sektor ini bagaimanapun bermula agak lesu pada suku pertama dengan jualan terjejas oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tetapi, langkah-langkah rangsangan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan baharu pimpinan Perikatan Nasional telah berjaya mendorong pemulihan sektor automotif.

Moratorium pinjaman selama enam bulan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatian Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan pada 10 Feb untuk tempoh mulai 1 April sehingga 30 Sept, telah menggalakkan perbelanjaan pengguna dan mencetuskan penjualan, terutamanya untuk model mampu milik.

Penjualan kereta-kereta baharu dan terpakai kebanyakan jenama besar dan utama mula mencatatkan jumlah memberangsangkan tatkala memasuki suku kedua.

Skim PRIHATIN, bersama-sama Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan pada 5 Jun bagi membantu memulakan kembali ekonomi selepas terjejas sedikit di celah-celah penguatkuasaan PKP dan PKP Bersyarat, adalah antara faktor yang merancakkan jualan dan jumlah keseluruhan industri (TIV).

Bagi sektor automotif, PENJANA menawarkan 100 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD) serta 50 peratus pengecualian cukai jualan untuk kenderaan penumpang, SUV dan MPV import sepenuhnya mulai 5 Jun hingga 31 Dis.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas kepada dua peratus pada 5 Mei dan 25 mata asas lagi ke paras terendah iaitu 1.75 peratus pada 7 Julai.

Persekitaran kadar faedah yang rendah ini, diikuti dengan pengecualian cukai PENJANA terus memacu lebih banyak penjualan baharu.

Jualan kenderaan pada Jun 2020 meningkat kepada 44,695 unit daripada 42,586 unit pada Jun 2019.

Untuk enam bulan pertama 2020, TIV berjumlah 174,675 unit tetapi masih lagi rendah sebanyak 41.1 peratus berbanding 296,317 unit dalam tempoh yang sama 2019.

Memasuki separuh kedua 2020, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah menyemak unjuran TIV untuk keseluruhan tahun kepada sekitar 470,000 unit daripada anggaran terdahulu 400,000 unit yang diumumkan pada April.

Angka ini, menurut pemerhati industri masih lagi boleh diterima berikutan iklim ekonomi yang mencabar dan pengamalan prosedur operasi normal baharu semasa musim COVID-19.

Tanpa risiko pandemik itu, TIV Malaysia berkembang 1.0 peratus kepada 604,287 unit pada 2019 daripada 598,589 unit yang direkodkan pada 2018.

Dalam pada itu, Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) melaporkan insentif kerajaan semasa PKP, terutamanya pengecualian cukai dan moratorium telah merancakkan jualan kereta terpakai sejak Jun.

Jualan kereta terpakai, terutamanya yang berharga di bawah RM30,000, melonjak lebih 100 peratus pada separuh pertama 2020 kerana pengumuman moratorium PRIHATIN telah memberikan laluan kepada pertambahan urusan sewa beli.

FMCCAM, yang menguruskan 4,325 wakil penjual di bawah payungnya berkata, kenderaan terpakai telah menjadi komoditi paling laris industri itu kerana pengguna lebih suka memandu kenderaan sendiri semasa pandemik dan berjimat dalam iklim ekonomi yang tidak menentu ini.

Persatuan itu turut menyedari permintaan untuk kenderaan terpakai telah meningkat ketika memasuki suku ketiga dengan sebahagian besar wakil penjual terus mencatatkan pemulihan penjualan, menyaksikan jualan bulan Julai tahun ke tahun mengukuh lebih 25 peratus kepada 37,800 unit sementara bulan Ogos dan September mencatatkan pertumbuhan melebihi 17 peratus tahun ke tahun.

Bagaimanapun, dengan berakhirnya insentif moratorium, sentimen pembelian pada suku keempat agak lebih berhati-hati.

Namun begitu, pengenalan model baharu dan beberapa penambahbaikan varian sedia ada serta kempen jualan akhir tahun, terus membantu meningkatkan pasaran.

Perniagaan terus berkembang pada suku keempat, terutamanya dengan pelancaran secara maya model-model popular seperti Nissan Almera Turbo baharu (5 Sept), varian New Honda City generasi kelima pada 13 Okt, Proton X50 SUV (27 Okt) dan Mitsubishi Xpander MPV tujuh tempat duduk (27 Nov).

Ketika tahun 2020 hampir melabuhkan tirainya, pengeluar kereta domestik meneruskan trajektori pertumbuhan masing-masing ke arah prestasi akhir tahun yang lebih mantap.

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) telah menjual lebih 195,000 kereta setakat akhir Nov, 2020 dan dilaporkan mampu mencapai unjuran pendaftaran akhir tahun sebanyak 210,000 unit manakala Proton Holdings Bhd menjual 96,410 unit berbanding unjuran 2020 sebanyak132,000 unit.

Sementara itu, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) berkata kajian semula insentif di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 untuk memastikan pemulihan industri penting yang memacu ekonomi negara dengan lebih pantas selepas COVID-19 telah dimuktamadkan dan kini sedang menantikan kelulusan kerajaan sebelum ia boleh diumumkan kemudian.

Langkah itu akan menyaksikan insentif sedia ada dalam NAP 2020 diselaraskan mengikut keperluan semasa, sekali gus membolehkan peserta automotif meraih keuntungan selepas berakhirnya COVID-19.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon