B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelan Hala Tuju Robotik Negara akan dibangunkan – PM

Pelan Hala Tuju Robotik Negara akan dibangunkan – PM

17 Feb 2022

Pelan Hala Tuju Robotik Negara (NRR) akan dibangunkan dalam usaha mengarusperdanakan penggunaan teknologi robotik seterusnya meningkatkan produktiviti negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pelan itu dijangka mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing dan meminimumkan pengaliran mata wang ke luar negara.

Di bawah pelan berkenaan, kerajaan menyasarkan kepadatan robot meningkat dari 55 unit bagi setiap 10,000 pekerja pada tahun 2019 kepada 195 unit bagi setiap 10,000 pekerja pada tahun 2030, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata pelan itu merupakan antara keputusan dicapai pada mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang kali pertama diadakan tahun ini.

Selain pelan berkenaan, beliau berkata mesyuarat dihadiri Menteri-Menteri serta Ketua Jabatan dan Agensi yang terlibat secara dalam talian itu, turut menyokong konsep Projek Pemangkin (Catalytic Projects) bagi memacu Aspirasi MyDIGITAL.

Ke arah itu, perdana menteri berkata mesyuarat bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Projek Pemangkin MyDIGITAL untuk memilih projek sesuai dan memantau pelaksanaannya yang merupakan kerjasama antara sektor awam dan swasta (public-private partnership).

Beliau berkata Projek Pemangkin itu akan dibiayai sektor swasta, dan kerajaan akan memainkan peranan sebagai pemudah cara.

Menurutnya antara contoh projek pemangkin termasuk perubatan pintar yang menyasarkan penubuhan hospital menggunakan teknologi 5G dan Bandar Pintar.

Ismail Sabri berkata mesyuarat turut dimaklumkan kemajuan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang menyaksikan tempoh dari September 2020 hingga Disember 2021, sebanyak 1.89 juta premis baharu diliputi capaian gentian optik dan 1,189 menara 4G baharu telah dibina.

Beliau berkata dalam tempoh sama, 95 peratus kawasan berpenduduk telah mendapat liputan 4G.

Selain itu, perdana menteri berkata mesyuarat dimaklumkan bahawa Digital Nasional Berhad (DNB) juga telah memulakan akses kepada rangkaian borong 5G dengan 500 tapak 5G telah diaktifkan setakat 31 Dis 2021 di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

“DNB juga menyasarkan 3,500 tapak, bersamaan 36 peratus liputan di kawasan berpenduduk pada penghujung tahun 2022,” katanya.

Melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) pula, beliau berkata 883 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) sedang beroperasi manakala 28 lagi akan beroperasi menjelang 31 Mac ini di seluruh negara.

Sementara itu Ismail Sabri berkata sempena ulang tahun pertama pelancaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) serta pengenalan MyDIGITAL, beberapa program telah dan akan dilaksanakan sepanjang Februari dan Mac.

Ini katanya termasuk Technopreneur Industry Dialogue, beberapa siri dialog anjuran World Bank dan MyDIGITAL Corporation, Program Transformasi Digital Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan; Sesi Perbincangan Meja Bulat mengenai Islamic Digital Technology dan Program Celik Digital Penjawat Awam.

“Keberhasilan MyDIGITAL akan menjadi penentu kejayaan pendigitalan Keluarga Malaysia seperti yang diharapkan menjelang tahun 2030,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X