B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kamarudin pelawa sektor swasta Austria melabur di Malaysia

Kamarudin pelawa sektor swasta Austria melabur di Malaysia

17 Feb 2022

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar mengalu-alukan sektor swasta Austria untuk terus membuat pelaburan di Malaysia.

Dalam pertemuannya dengan Ketua Setiausaha Kementerian Persekutuan bagi Hal Ehwal Eropah dan Antarabangsa Austria, Peter Launsky-Tieffenthal, di Vienna pada Rabu, beliau merakamkan penghargaan di atas pelaburan bernilai RM8.5 bilion oleh syarikat Austria Technologie & Systemtechnic Aktiengesellschaf (AT&S) yang akan beroperasi di Kedah.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), Kamarudin juga berkongsi perkembangan terkini dalam sektor komoditi negara terutamanya isu-isu serta usaha yang melibatkan minyak kelapa sawit.

“Pelbagai isu hubungan dua hala di antara Malaysia dan Austria dibincangkan semasa pertemuan itu termasuklah kerjasama dalam bidang pertahanan, pengajian tinggi, ekonomi, perdagangan, pelaburan, dan pelancongan kesihatan,” kata kenyataan itu.

Wisma Putra berkata pertemuan itu juga memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.

Antaranya kerjasama Kesatuan Eropah dan ASEAN, peranan Malaysia dan Austria dalam pelbagai organisasi antarabangsa serta perkembangan semasa di Afghanistan, Palestin dan Myanmar.

“Pihak Austria merakamkan penghargaan kepada Malaysia di atas sumbangan dan penglibatan aktif dalam Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) yang beribu pejabat di Austria, di mana Malaysia merupakan antara negara pengasas institusi tersebut,” katanya.

Menurut Wisma Putra, Malaysia dan Austria mempunyai hubungan dua hala yang baik dan mesra sejak menjalinkan hubungan diplomatik pada 6 Ogos 1962 dan akan menyambut ulang tahun ke-60 tahun ini.

Nilai dagangan dua hala antara kedua-dua negara pada tahun lepas berjumlah RM3.28 bilion, dengan nilai eksport sebanyak RM0.53 bilion dan nilai import sebanyak RM2.75 bilion.

Kamarudin berada dalam rangka lawatan kerja ke Czech, Austria, Poland dan Perancis dari 13 hingga 23 Feb ini.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon