B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaksanaan CPTPP akan tingkatkan daya saing Malaysia di arena global – MPA

Pelaksanaan CPTPP akan tingkatkan daya saing Malaysia di arena global – MPA

28 Okt 2022

Pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik serta meningkatkan daya saing negara di arena global.

Dalam kenyataan pada Khamis, Presiden Persatuan Petrokimia Malaysia (MPA) Akbar Md Thayoob berkata persatuan itu memuji usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam menyelesaikan prosedur domestik berikutan mandat yang diterima daripada Kabinet.

Beliau berkata MITI telah menyumbang kepada penyerahan akhir instrumen ratifikasi (IOR) Malaysia bagi CPTPP dengan depositari di New Zealand yang dilaksanakan pada 30 Sept 2022.

“Perjanjian CPTPP telah diratifikasi dan dilaksanakan secara berperingkat sejak Disember 2018 oleh Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Peru.

“Ia akan meluaskan akses Malaysia kepada pasaran baharu seperti Kanada, Mexico dan Peru yang tidak diliputi oleh mana-mana perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada,” katanya.

Beliau berkata pengeksport Malaysia akan menikmati layanan bebas cukai ke atas produk seperti alat ganti dan komponen automotif, barangan plastik, sarung tangan pembedahan, produk getah, tekstil dan pakaian, produk koko serta barangan makanan.

Akbar berkata, langkah United Kingdom dan China, Chinese Taipei, Ecuador dan Costa Rica yang turut memohon secara rasmi untuk menyertai CPTPP adalah sesuatu yang memberangsangkan, membolehkan pengeksport Malaysia meraih peluang kepada akses pasaran yang lebih luas.

Beliau berkata analisis kos-faedah (CBA) yang dilaksanakan ke atas CPTPP mengunjurkan jumlah perdagangan dari Malaysia dijangka meningkat kepada US$655.9 bilion (AS$1=RM4.71) pada 2030.

Selain itu, beliau berkata eksport diramalkan mencecah AS$354.7 bilion pada tahun yang sama dengan imbangan perdagangan kekal dalam lebihan kukuh pada 8.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2030.

Beliau berkata, di bawah CPTPP, hampir 100 peratus daripada eksport Malaysia ke semua negara CPTPP akan menikmati layanan bebas cukai menjelang 1 Jan 2033.

Akbar berkata apabila CPTPP dikuatkuasakan untuk Malaysia, semua eksport Malaysia ke pasaran Australia dan Singapura tidak dikenakan sebarang duti.

Semua produk Malaysia yang dieksport ke New Zealand dan Kanada adalah tanpa cukai, masing-masing pada 2024 dan 2029, katanya.

Ketika ini, beliau berkata duti ke atas eksport utama Malaysia ke Kanada dan Mexico adalah antara 15 hingga 30 peratus.

“Pada dasarnya, CPTPP akan wujud bersama semua FTA lain dan akan meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik, meningkatkan daya saing kita di arena global,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon