B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan sembilan bulan 2020 cecah RM109.8 bilion

Pelaburan sembilan bulan 2020 cecah RM109.8 bilion

01 Dis 2020

Malaysia merekodkan pelaburan bernilai RM109.8 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama untuk tempoh sembilan bulan pertama 2020.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataannya berkata, pelaburan ini membabitkan 2,935 projek dan akan mewujudkan 64,701 peluang pekerjaan di Malaysia.

“Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebanyak 61.2 peratus atau RM67.2 bilion, sementara pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM42.6 bilion.

“Penyumbang terbesar FDI untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama dalam tempoh itu ialah China sebanyak RM17 bilion, Singapura (RM8 bilion), Switzerland dan Amerika Syarikat (AS) masing-masing RM2.8 bilion serta Belanda (RM2.4 bilion),” katanya.

MIDA berkata, untuk projek yang diluluskan mengikut negeri, lima negeri utama iaitu Selangor, Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menyumbang RM76.8 bilion atau 69.9 peratus kepada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk Januari hingga September 2020.

Katanya, sektor perkilangan menarik sebahagian besar pelaburan yang diluluskan untuk tempoh itu, menyumbang lebih separuh (59.5 peratus) atau RM65.3 bilion.

“Ia diikuti sektor perkhidmatan dengan pelaburan sebanyak 39 peratus atau RM42.8 bilion, dan sektor utama dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah 1.5 peratus atau RM1.7 bilion,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan tidak pernah berganjak dalam mengutamakan keperluan rakyat walaupun negara dan dunia masih berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19.

Beliau berkata, kerajaan berusaha untuk memastikan kehidupan rakyat dan kemampanan perniagaan terus berdaya maju, bukan saja ketika mendepani wabak ini tetapi untuk tempoh tahun-tahun akan datang.

Oleh itu, katanya Belanjawan 2021 menjadi asas untuk mempercepatkan pelaburan di Malaysia bagi memacu pemulihan ekonomi dan mewujudkan kesan berlipat ganda pada ekonomi.

“Kerajaan melalui MIDA berharap dapat memanfaatkan insentif daya saing ini untuk meninjau dan menarik lebih banyak pelabur, tempatan serta asing, mengambil peluang di Malaysia sepenuhnya.

“Kami yakin pelabur akan memperoleh nilai dengan memanfaatkan rangkaian industri sokongan tempatan Malaysia yang kukuh dan tenaga kerja berbakat untuk melaksanakan pembuatan produk berteknologi tinggi dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi.

“Ini bagi memenuhi pelanggan mereka di rantau ini, pada masa sekarang dan masa depan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X