B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MITI lancar Geran Automasi Pintar

MITI lancar Geran Automasi Pintar

02 Dis 2020

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melancarkan Geran Automasi Pintar (SAG) yang bertujuan mendorong penerapan automasi untuk penggiat industri, terutama pengeluar dan penyedia perkhidmatan tempatan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) komited untuk memacu industri dan perniagaan Malaysia ke arah automasi dan pendigitalan.

“Lebih daripada sekadar memiliki penyedia penyelesaian dan tenaga mahir yang sesuai, ia juga untuk memastikan keperluan untuk mendapatkan bantuan kewangan dapat dipenuhi.

“Pelancaran SAG adalah tepat pada masanya untuk meningkatkan pelaburan domestik strategik yang akan membantu dan memberi insentif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan (MTC) untuk memantapkan rangkaian operasi, pengeluaran dan perdagangan mereka pada masa depan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Inisiatif SAG adalah sebahagian daripada peruntukan RM100 juta dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan pada Jun lalu.

Geran itu akan diberikan secara padanan atau 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan yang layak, sehingga had maksimum sebanyak RM1 juta bagi setiap syarikat.

PKS dan MTC yang telah melakukan aktiviti pembuatan atau perkhidmatan dalam tempoh 12 bulan lepas layak dipertimbangkan untuk pemberian SAG berkenaan.

Untuk memenuhi syarat untuk mendapatkan insentif itu, mesin automasi, peralatan atau perisian yang dibeli mesti digunakan secara langsung dalam rantaian nilai syarikat untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan mereka.

Penambahbaikan akan dinilai berdasarkan pelbagai kriteria seperti pengurangan pekerja tidak mahir, jumlah waktu bekerja, kadar kerosakan hasil pembuatan dan juga peningkatan jumlah pengeluaran.

Pihak berkepentingan yang berminat boleh mengemukakan permohonan bagi SAG itu kepada MIDA dari 1 November, 2020 hingga 31 Disember, 2021.

Kerajaan optimis pemberian geran itu akan melihat penggunaan automasi dan pendigitalan yang lebih banyak di negara ini untuk memenuhi rantaian bekalan global yang berkembang dengan teknologi hari ini, kata Mohamed Azmin.

“Pemberian geran ini bukan sahaja dapat meningkatkan daya saing dan kemampuan industri Malaysia tetapi juga mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja asing berkemahiran rendah sambil mewujudkan peluang pekerjaan baru di sektor bernilai tambah tinggi,” katanya.

Selain itu, MIDA bekerjasama dengan bank panel terpilih akan menganjur Program Mempercepatkan SAG untuk memberi kesedaran dan memberikan bimbingan kewangan kepada syarikat mengenai automasi dan pendigitalan melalui siri sesi latihan dan penilaian simulasi.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon