B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan RM130 juta bangunkan pusat pengeluaran bakeri sejajar dengan hasrat Johor perkasa industri halal – Exco

Pelaburan RM130 juta bangunkan pusat pengeluaran bakeri sejajar dengan hasrat Johor perkasa industri halal – Exco

17 Jun 2022

Pelaburan sebanyak RM130 juta untuk membangunkan pusat pengeluaran bakeri dan pengedaran pertama Paris Baguette Singapore dengan pensijilan halal di Taman Teknologi Nusajaya (NTP), Iskandar Puteri selari dengan hasrat kerajaan Johor untuk memperkasakan industri halal di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Lee Ting Han berkata ini kerana Johor mempunyai pasaran makanan halal global yang cukup besar iaitu melebihi US$2 trilion.

“Selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu secara langsung, kami yakin pelaburan ini akan turut memberi nilai tambah dan menarik industri atau syarikat lain yang berdekatan atau bersekutu ke Johor di samping membina ekosistem rantaian bekalan untuk perusahaan kecil dan sederhana,” katanya di laman Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata pelaburan itu membuktikan bahawa negeri ini mempunyai kelebihan dari segi lokasi yang strategik dan infrastruktur yang baik, termasuk pelabuhan serta lapangan terbang yang dapat menyokong perkembangan sesuatu perniagaan ke rantau ini.

Malah menurutnya, Johor juga mempunyai sumber manusia yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, persekitaran politik yang stabil serta usaha kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada pihak yang bertungkus-lumus untuk membawa pelaburan ini ke Johor, termasuk Invest Johor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan sebagainya.

“Pelaburan ini tidak akan tercapai tanpa usaha gigih dan kerjasama semua,” katanya. 

Hari ini, dilaporkan bahawa Paris Baguette yang dimiliki oleh firma Korea Selatan, SPC Group, akan melabur sebanyak RM130 juta untuk membangunkan pusat pengeluaran bakeri dan pengedaran pertama Paris Baguette dengan pensijilan halal di Johor.

SPC dalam kenyataan memaklumkan pembinaan pusat berkenaan dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini dan beroperasi pada Jun 2023 selain menyediakan kira-kira 100 peluang pekerjaan baharu.

Pusat yang dibangunkan di tapak berkeluasan 16,500 meter persegi itu akan mengeluarkan kira-kira 100 produk bakeri seperti roti, kek dan pencuci mulut yang dibekalkan ke pelbagai cawangan Paris Baguette di negara-negara Asia Tenggara termasuk Singapura, Vietnam, Kemboja dan Indonesia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon