B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


UAE sasar perkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia melalui inisiatif koridor makanan

UAE sasar perkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia melalui inisiatif koridor makanan

17 Jun 2022

Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyasarkan untuk mengukuhkan hubungannya dengan Malaysia melalui inisiatif koridor makanannya, memanfaatkan hubungan dua hala sedia ada antara kedua-dua negara dengan gangguan global dalam sekuriti makanan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Perdagangan UAE Dr Abdulnasser Alshaali berkata negara Teluk itu mula memberi tumpuan kepada sektor kesihatan dan sekuriti makanan berikutan daripada pandemik COVID-19.

“Kami telah mencuba yang terbaik untuk mempelbagaikan sumber import makanan kami dan kami akan terus melakukannya pada masa depan.

“Saya percaya ini telah berjalan dengan baik untuk kami, memastikan kami tidak terlalu bergantung kepada satu atau dua sumber input untuk mana-mana import komoditi utama kami,” katanya, sambil menambah ini adalah bidang yang Malaysia dan UAE boleh bekerjasama, terutamanya dalam mengurangkan impak daripada larangan eksport yang meningkat di peringkat global.

Bercakap kepada Bernama semasa lawatan rasmi delegasi ekonomi UAE ke Malaysia semalam, katanya UAE telah mengambil langkah sama dengan India, apabila monarki Teluk itu memperuntukkan US$7 bilion untuk melabur dalam inisiatif koridor makanan UAE-India.

Pasaran global telah terjejas oleh pelbagai larangan eksport oleh negara yang ingin menjimatkan bekalan untuk memenuhi permintaan domestik mereka.

Pada Disember 2021, Argentina dan Rusia mengehadkan jumlah jagung dan gandum yang boleh dieksport untuk mengelak kekurangan bijirin domestik berikutan bekalan makanan domestik yang semakin berkurangan.

Indonesia mengikut jejak langkah tersebut pada April lepas dengan melarang eksport minyak sawit dan India turut melaksanakan langkah tersebut pada Mei apabila melarang pengeksportan gandum.

Mengulas mengenai kerjasama UAE-Malaysia, Abdulnasser berkata lebih banyak libat urus perniagaan kepada perniagaan (B2B) diperlukan untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Ia agak mudah untuk mengadakan lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua kerajaan, seperti antara Perdana Menteri dan sebagainya. Bagaimanapun, ia sentiasa lebih mencabar untuk memastikan hubungan B2B mengekalkan momentum yang sama,” katanya.

Antara langkah untuk meningkatkan hubungan B2B ialah menggalakkan lawatan yang saling memberi manfaat oleh delegasi perniagaan dari kedua-dua negara, apabila pihak berkenaan boleh berhubung dengan mereka yang boleh dan bersedia untuk membantu mereka, sama ada di peringkat persekutuan atau di peringkat bawah, katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kerjasama sedia ada antara sektor komersial kedua-dua negara sentiasa boleh diperluaskan.

Pada tahun lepas, nilai perdagangan antara Malaysia dan UAE telah meningkat kepada US$5.4 bilion, menjadikan UAE rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah.

Pada Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat lawatan rasmi pertamanya ke Qatar dan UAE, diiringi oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada lawatan tersebut, Perdana Menteri menyaksikan pemeteraian dan pertukaran sembilan memorandum antara syarikat Malaysia dan rakan perniagaan antarabangsa mereka di UAE.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X