B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan RM1.3 bilion beri nafas baharu lapangan terbang Subang

Pelaburan RM1.3 bilion beri nafas baharu lapangan terbang Subang

19 Apr 2021

Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) menjangkakan pelan pembangunan lima tahun Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang dengan nilai pelaburan RM1.3 bilion akan memberi nafas baharu kepada lapangan terbang terbabit sekali gus membantu membentuk suatu ekosistem aeroangkasa yang serba lengkap. 

Ketua KLIA Aeropolis Sdn. Bhd., Randhill Singh berkata, daripada usaha pembangunan yang dilakukan itu turut dijangka membuka 10,000 peluang pekerjaan berimpak tinggi selain menggandakan bilangan pengendali dan penyewa.

“Inisiatif Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang adalah inisiatif strategik oleh MAHB bagi menghidupkan semula ekosistem lapangan terbang Subang.

“Segmen ekosistem itu meliputi perniagaan penerbangan, penerbangan komersial, hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan aeroangkasa, kargo udara logistik serta pusat teknologi penerbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi In Conversation with Malaysia Airports: Subang Airport Regeneration – More Than Just A City Airport di Ibu Pejabat MAHB di sini hari ini.

Menurut Randhill,  pelaksanaan usaha itu adalah sejajar dengan matlamat serta aspirasi MAHB untuk merealisasikan agenda Industri 4.0.

“Di samping itu, ia bagi menawarkan perkhidmatan lapangan terbang yang serba pintar, moden serta selesa melibatkan penerbangan domestik dan serantau yang mampu mencapai jumlah penumpang lima juta orang setiap tahun hasil daripada kecekapan dan kapasiti dalam terminal,” katanya.

Jelas beliau, daripada jumlah keseluruhan pelaburan, sebanyak RM1 bilion diperlukan untuk membina fasiliti seperti hangar, kilang serta penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO).

“Selain itu, kira-kira 300 juta diperlukan untuk infrastruktur awam. MAHB mengharapkan pembangunan yang telah direncanakan berjalan lancar mengikut pelan komprehensif yang dibuat,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon