B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan asing bersih ke Malaysia berjumlah RM48.1 bilion pada 2021, tertinggi sejak 2016 — DoSM

Pelaburan asing bersih ke Malaysia berjumlah RM48.1 bilion pada 2021, tertinggi sejak 2016 — DoSM

17 Jun 2022

Pelaburan asing di Malaysia merekodkan aliran masuk bersih RM48.1 bilion pada 2021 berbanding RM13.3 bilion pada tahun sebelumnya, manakala pelaburan di luar negeri mencatatkan RM19.7 bilion berbanding RM10.2 bilion pada 2020.

Sehingga akhir 2021, pelaburan langsung asing (FDI) terkumpul di Malaysia mencatatkan nilai yang lebih tinggi sebanyak RM788.8 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menerbitkan Statistik FDI di Malaysia dan pelaburan langsung Malaysia di luar negeri (DIA) pada 2021.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata aktiviti ekonomi mulai pulih secara perlahan-lahan selepas terkesan daripada pandemik COVID-19.

Berdasarkan World Investment Report oleh Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), aliran FDI ke negara-negara membangun di Asia meningkat sebanyak 19 peratus kepada US$619 bilion pada 2021.

“Oleh itu, pelaburan asing ke Malaysia pada 2021 meningkat untuk mencatatkan RM48.1 bilion, tertinggi sejak 2016,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut berkaitan prestasi FDI mengikut sektor, Mohd Uzir berkata sektor pembuatan mengembang sebanyak RM22.5 bilion untuk merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM29.5 bilion yang menyumbang kepada aliran masuk terbesar dalam FDI.

Sektor pembuatan menarik 61.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan, terutamanya dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan lain-lain pembuatan.

Sementara itu, perkhidmatan merupakan penyumbang kedua tertinggi terutamanya dalam aktiviti kewangan, diikuti oleh sektor perlombongan yang menerima dalam bentuk ekuti dan dana pelaburan saham.

Menjelaskan selanjutnya berhubung pelaburan Malaysia dengan lebih 190 negara, Mohd Uzir berkata, rantau Asia kekal menjadi sumber utama FDI di Malaysia bagi 2021 dengan aliran masuk bersih sebanyak RM22.5 bilion, kebanyakannya diterima dari Singapura, Jepun dan Korea Selatan berjumlah RM17 bilion.

Rantau Asia turut menjadi sumber utama kedudukan FDI dengan nilai sebanyak RM413.1 bilion, diikuti Eropah pada RM207.7 bilion dan Amerika pada RM153.0 bilion pada akhir 2021.

Pada akhir 2021, kedudukan FDI telah meningkat sebanyak RM103.9 bilion untuk mencatatkan nilai RM788.8 bilion. Sektor perkhidmatan merupakan penerima terbesar pada 49.2 peratus atau RM388.4 bilion, dipacu oleh aktiviti kewangan dan borong runcit. 

Ini diikuti oleh sektor pembuatan yang merangkumi sebanyak 42.2 peratus daripada keseluruhan FDI, terutamanya dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan lain-lain pembuatan.

“Seperti mana prestasi FDI, aliran DIA meningkat RM9.5 bilion untuk merekodkan RM19.7 bilion disebabkan pelaburan yang lebih tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan,” kata Mohd Uzir.

Pembuatan memintas perkhidmatan sebagai sektor utama bagi DIA, menyumbang 40.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan terutamanya dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan lain-lain pembuatan. 

Sementara itu, sektor perkhidmatan menyumbang 30.3 peratus terutamanya dalam aktiviti kewangan. Eropah kekal sebagai rantau utama bagi aliran DIA pada 2021 dengan sumbangan sebanyak 54.9 peratus terutamanya ke Belanda dan United Kingdom(UK).

“Secara keseluruhannya, pelaburan ini kebanyakannya disalurkan ke Belanda, Kanada dan Indonesia,” katanya.

Aliran DIA terutamanya adalah dalam bentuk ekuti dan dana pelaburan saham dengan sumbangan sebanyak 61.7 peratus disumbangkan oleh keuntungan yang dikekalkan di luar negeri walaupun mengalami aliran keluar yang lebih rendah dalam ekuti.

Pada masa yang sama, instrumen hutang merekodkan aliran keluar bersih yang lebih tinggi hasil daripada aktiviti dalam kredit perdagangan.

Pada akhir 2021, kedudukan DIA berada pada RM547.0 bilion daripada RM515.1 bilion pada tahun sebelumnya dengan Singapura, Indonesia dan UK kekal sebagai tiga destinasi utama bagi para pelabur.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon