B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelabur asing sangat pentingkan keselamatan siber, ketahanan digital – MGBF

Pelabur asing sangat pentingkan keselamatan siber, ketahanan digital – MGBF

25 Feb 2022

Apabila ekonomi digital berkembang, keselamatan siber dan daya tahan digital kekal menjadi tumpuan terhadap kebimbangan pelabur asing yang ingin menjalankan perniagaan di Malaysia, kata Forum Perniagaan Global Malaysia (MGBF).

Pengerusi Pengasasnya Nordin Abdullah berkata hakikat bahawa Malaysia mempunyai agensi keselamatan siber yang terkenal adalah penting untuk mewujudkan ekosistem mesra perniagaan bagi pelabur dan rakan dagangan antarabangsa.

“Sebelum ini, kebimbangan pelabur asing ketika menjalankan perniagaan di negara kita adalah mengenai keselamatan fizikal, tetapi kini ia adalah mengenai keselamatan digital dan ketahanan data, jadi sebab itu banyak syarikat ingin tahu bahawa ini adalah tempat yang selamat,” katanya kepada Bernama di luar sesi meja bulat bertajuk “Menangani Maklumat Yang Dijadikan ‘Senjata’ Dalam Media,” anjuran MGBF di sini pada Khamis.

“Kita masih selamat pada masa ini, tetapi kita perlu terus melabur dalam keselamatan siber di semua peringkat dalam masyarakat, termasuk individu, syarikat dan di peringkat kerajaan,” tambahnya.

Nordin berkata ancaman yang melibatkan data dan maklumat telah berkembang, dengan pelbagai titik kemasukan serangan seperti menggunakan media arus perdana dan media sosial.

“Kadang-kadang, satu maklumat kecil boleh dijadikan ‘senjata’ dalam media, tetapi ia mungkin juga dijadikan senjata dalam media sosial terlebih dahulu, dan itu boleh memberi kesan secara langsung kepada reputasi, pendapatan dan harga saham syarikat,” tambahnya.

Menurut Nordin, sepanjang siri perbincangan, MGBF, bersama-sama pemain industri, sedang berusaha untuk membangunkan rangka kerja yang merupakan sebahagian daripada perkongsian awam-swasta untuk memastikan Malaysia akan mempunyai ekosistem perniagaan yang berdaya tahan.

“Kami akan terus melibatkan diri dengan pihak berkepentingan dan penemuan daripada perbincangan kami, seperti hari ini, akan dimasukkan ke dalam laporan terperinci yang akan dikongsi dengan agensi kerajaan berkaitan,” katanya.

“Pada masa yang sama, kami percaya bahawa semua agensi kerajaan perlu meneruskan ketahanan digital (sebagai sebahagian) daripada transformasi (proses) digital negara.”

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X