B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelabuhan POIC Lahad Datu mampu jadi hab pemindahan kargo di rantau ini

Pelabuhan POIC Lahad Datu mampu jadi hab pemindahan kargo di rantau ini

05 Sep 2022

Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC)  di sini mampu menjadi salah satu daripada hab pemindahan kargo dari kapal ke kapal yang utama di rantau ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Kedudukan strategik Pelabuhan POIC itu di pertengahan Asia Timur mempunyai kelebihan besar dalam aspek pengendalian kargo pukal yang mana pemprosesan boleh dilakukan di sini, sebelum dieksport ke beberapa negara maju seperti China, Jepun, Korea, Taiwan dan Hong Kong. 

“Sudah pasti infrastruktur baharu itu akan menjana pertumbuhan sosio ekonomi tempatan termasuk peluang pekerjaan. Pelabuhan ini juga akan membantu menjayakan lagi sektor perindustrian di Sabah

“Perindustrian antara sektor utama dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) juga sektor tumpuan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya dalam kenyataan sempena Majlis Pelancaran Rasmi Pelabuhan POIC Lahad Datu dan Pengoperasian Fasiliti Tangki Pukal POIC di sini hari ini. 

Sektor industri pelabuhan adalah salah satu daripada pemangkin utama dan tulang belakang kepada pembangunan negeri Sabah, khususnya melibatkan penghantaran barang atau kargo.

Kemudahan infrastruktur yang baik serta berkualiti akan dapat menyokong setiap usaha pembangunan ekonomi Sabah. 

“Kita yakin dengan kerjasama jitu dan erat di antara Kerajaan Negeri dengan sokongan padu daripada Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC) negeri.

“Ini termasuk menubuhkan POIC Lahad Datu pada 2005, dengan objektif untuk menerajui pembangunan dalam sektor industri pemprosesan hiliran minyak sawit bagi menambah nilai kepada 1.4 juta hektar ladang kelapa sawit di Sabah, disamping mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan”, katanya.

Hajiji juga optimis pelabuhan POIC Lahad Datu akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi negeri khususnya dalam sektor pembuatan, perkhidmatan logistik serta sokongan kepada operasi eksport dan import. 

POIC Sabah Sdn.Bhd melalui anak syarikatnya POIC Logistics Sdn. Bhd bertanggungjawab penuh dalam mengendalikan operasi pelabuhan yang terdapat di POIC Lahad Datu, yang menyediakan kemudahan pelabuhan paling komprehensif, canggih dan serba lengkap di perairan Selat Lombok-Makassar. 

Pelabuhan-pelabuhan ini terdiri daripada Terminal Kontena, Terminal Pukal Kering, Terminal Pukal Cecair dan Dermaga Pendaratan Baj/Tongkang. 

Beliau berkata lagi, dengan kemudahan prasarana itu, Pelabuhan POIC Lahad Datu merupakan antara pelabuhan yang mempunyai kemudahan komprehensif yang terbaik di rantau ini. 

“Pelabuhan di POIC mempunyai kedalaman semula jadi sehingga 20 meter, setanding dengan pelabuhan terbaik di dunia seperti Pelabuhan Rotterdam. Oleh itu, adalah diharapkan pemain-pemain industri tempatan dapat memanfaatkan kemudahan pelabuhan tempatan khususnya Pelabuhan POIC Lahad Datu.

“Justeru, pelabuhan ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri khususnya bagi kawasan pantai timur Sabah dan akan menjadi salah satu pintu masuk utama perdagangan dan pelaburan ke negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri menyokong dan bersetuju pada dasarnya beberapa cadangan inisiatif baharu yang boleh memacu perkembangan serta meningkatkan keupayaan POIC dalam merancakkan lagi aktiviti perindustrian di Wilayah Pantai Timur Sabah. 

Inisiatif itu ialah pengadaan Zon Bebas di Taman Perindustrian Lahad Datu, mewujudkan Pusat Pengumpulan Satelit Biojisim, Lapangan Terbang Antarabangsa di Lahad Datu, menubuhkan Akademi Maritim dan Pembinaan Pusat Rawatan Kesihatan di kawasan tanah komersil di POIC Lahad Datu.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon