B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelabuhan Klang, PTP catat pencapaian terbaik pada 2021 – Wee

Pelabuhan Klang, PTP catat pencapaian terbaik pada 2021 – Wee

22 Feb 2022

Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), yang disenaraikan antara 20 pelabuhan utama dunia, berjaya melakar pencapaian terbaik dengan jumlah kontena masing-masing sebanyak 13.64 juta dan 11.2 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada tahun lepas.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata bagi Pelabuhan Klang, prestasi itu merupakan pencapaian terbaik sepanjang tempoh penubuhannya, meskipun terkesan akibat banjir besar yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor pada akhir 2021.

Beliau berkata bagi PTP pula, jumlah TEU itu juga dianggap luar biasa apabila merekodkan kenaikan sebanyak 14 peratus berbanding prestasi tahun sebelumnya.

“Kita berasa kagum, dalam senarai 20 pelabuhan terbesar dunia, dua daripadanya iaitu Pelabuhan Klang dan PTP tersenarai sebagai 15 pelabuhan paling sibuk.

Rekod ini menunjukkan kita (Malaysia) berdaya saing dan berjaya tingkatkan pengurusan kapasiti,” katanya di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia (MMW) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Wee berkata kerajaan sentiasa meneliti potensi setiap pelabuhan di negara ini termasuk melakukan perluasan pelabuhan susulan keperluan untuk menguruskan jumlah kenaikan TEU setiap tahun.

Sementara itu, semasa berucap di MMW 2022, Wee berkata industri perkapalan yang lebih hijau dan mampan merupakan cara yang baik untuk memastikan kejayaan sektor maritim pada era kebangkitan pascapandemik.

Beliau berkata peserta industri maritim perlu bekerja bersama-sama dalam menggunakan teknologi baharu serta menggalakkan amalan perkapalan hijau untuk mencapai matlamat tersebut.

Seiring dengan tema yang dipilih Pertubuhan Maritim Antarabangsa untuk Hari Maritim Sedunia 2022 iaitu Teknologi Baharu untuk Perkapalan yang Lebih Hijau, ia berperanan sebagai peluang untuk menunjukkan perlunya menyokong peralihan hijau dalam sektor maritim kepada masa depan yang mampan, katanya.

“Bagi merealisasikan inisiatif ini, kami memerlukan perkongsian kukuh seperti yang dinyatakan dalam Matlamat Pembangunan Mampan 17 (SDG 17) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang menekankan semua pihak perlu terlibat dengan berkongsi dan menguar-uarkan maklumat mengenai amalan terbaik di samping untuk mengakses sumber dan pengetahuan umum,” katanya.

MMW 2022 yang bermula hari ini hingga 24 Feb merupakan platform bagi pengawal selia dan peserta industri maritim meneroka pendekatan baharu dan membangunkan strategi berkesan untuk berkembang dalam normal baharu serta pulih daripada krisis pandemik.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X