Pekilang lega darurat tak jejas operasi perniagaan
12 Jan 2021
Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) hari ini menyambut baik langkah kerajaan membenarkan operasi perniagaan terus dijalankan sepanjang tempoh darurat yang dijangka berakhir pada 1 Ogos depan.
Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata kalangan perniagaan terbabit juga akur sepenuhnya dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada awal pagi ini sebagai langkah membendung penularan COVID-19 di negara ini.
“Pihak industri yakin bahawa vaksin COVID-19 yang akan diterima tidak lama lagi serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai peringkat itu berkesan bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19 dan langkah darurat itu boleh ditarik balik dengan seberapa segera,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, FMM turut mengingatkan supaya kalangan perniagaan dan industri sentiasa mematuhi langkah berjaga-jaga serta prosedur operasi standard menangani bagi COVID-19 yang telah ditetapkan.
Sumber: Bernama