MITI rangka SOP pelan kesinambungan syarikat - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MITI rangka SOP pelan kesinambungan syarikat

MITI rangka SOP pelan kesinambungan syarikat

12 Jan 2021

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah merangka prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif, relevan dan praktikal untuk membantu kelancaran operasi dan memastikan pelaksanaan pelan kesinambungan syarikat yang berkesan.

Dalam kenyataan, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ini terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 13 hingga 26 Jan 2021.

Beliau berkata SOP bagi sektor pengilangan dan pembuatan di bawah tanggungjawab MITI boleh dimuat turun dari laman sesawang MITI di www.miti.gov.my.

Syarikat yang telah berdaftar dengan pangkalan data MITI iaitu COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) melalui pautan https://notification.miti.gov.my tidak perlu membuat pendaftaran semula untuk beroperasi dalam tempoh PKP.

Syarikat ini hanya perlu memuat turun surat notifikasi pengesahan pendaftaran yang boleh dimuat turun mulai hari ini, 12 Jan 2021 bermula jam 3.00 petang.

Syarikat sektor pengilangan dan pembuatan dalam perkhidmatan perlu yang belum berdaftar dengan CIMS boleh berbuat demikian di pautan https://notification.miti.gov.my mulai 3.00 petang, 12 Jan 2021.

Surat notifikasi pengesahan pendaftaran boleh dimuat turun oleh syarikat selepas pendaftaran.

“Pendaftaran ini hanya terpakai untuk syarikat dalam sektor pengilangan dan pembuatan di bawah seliaan MITI.

“Majikan bertanggungjawab untuk memuat turun surat notifikasi pengesahan pendaftaran untuk membolehkan pergerakan pekerja dalam tempoh PKP,” katanya.

Pekerja syarikat yang dibenarkan untuk berada di tempat kerja pada satu-satu masa adalah wajib membawa sesalinan surat notifikasi pengesahan pendaftaran yang dibekalkan oleh majikan bersama pas pekerja/surat pengesahan majikan.

Ini bertujuan memudahkan pergerakan kenderaan komersial dan juga pergerakan pekerja antara kediaman dan tempat kerja, katanya.

Selaras dengan objektif untuk mengekang penularan pandemik COVID-19, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat.

Jumlah pekerja kumpulan sokongan dan pekerja yang terlibat secara langsung dalam barisan pengeluaran akan ditentukan oleh majikan masing-masing dengan mengambil kira pematuhan ketat SOP yang ditetapkan.

“Bagi kerja-kerja yang tidak memerlukan kehadiran secara fizikal, arahan Bekerja Dari Rumah (BDR) akan berkuatkuasa.

“Kerajaan menyeru pihak industri dan swasta mempertingkatkan pelaksanaan BDR sebagai norma baharu selari dengan kecanggihan teknologi terkini dan aplikasi dalam talian,” kata Mohamed Azmin.

MITI, dengan kerjasama pihak berkuasa negeri akan menjalankan penguatkuasaan secara berkala sepanjang tempoh PKP ke atas syarikat untuk memastikan pematuhan SOP dan akan mengambil tindakan mengkompaun kesalahan selaras dengan Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Majikan yang didapati melanggar dan tidak mematuhi SOP akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan, katanya.

Beliau berkata MITI telah menyediakan senarai soalan-soalan lazim (FAQ) untuk membantu pihak industri mendapatkan maklumat terperinci dan tepat mengenai SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi membolehkan sektor pengilangan dan pembuatan beroperasi dalam tempoh PKP.

Kerajaan membenarkan sektor ekonomi dalam perkhidmatan perlu beroperasi sepanjang tempoh PKP di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Mohamed Azmin berkata enam negeri yang dikenakan PKP merupakan pemacu aktiviti ekonomi utama negara dan penyumbang yang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Pada 2019, sumbangan Selangor kepada KDNK negara sebanyak 24.2 peratus, Wilayah Persekutuan (16.9 peratus), Johor (9.4 peratus ), Pulau Pinang (6.7 peratus ), Sabah (6.0 peratus ) dan Melaka (3.1 peratus).

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon