B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


PEC dijangka terima pembiayaan US$2.4 bilion pada akhir tahun, kata ChemOne

PEC dijangka terima pembiayaan US$2.4 bilion pada akhir tahun, kata ChemOne

20 Jun 2022

ChemOne Group mengumumkan bahawa projek Kompleks Tenaga Pengerang (PEC) dijangka menerima kemudahan jaminan eksport kira-kira US$2.4 bilion (US$1=RM4.40) pada akhir tahun ini. 

Dalam kenyataan hari ini, ChemOne, yang merupakan pemaju utama projek itu, berkata PEC akan menyelesaikan penutupan kewangannya pada akhir 2022 mengikut terma dan jadual pembiayaan yang dipersetujui dengan agensi kredit eksport terkemuka global.

“Dijadualkan untuk memulakan pembinaan pada suku keempat tahun ini, kemudahan PEC bernilai US$4.4 bilion itu akan ditempatkan di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), Johor, terletak di tengah-tengah untuk mengakses sumber stok suapan antarabangsa teras dan membekalkan pusat permintaan produk utama di Asia,” menurut ChemOne, konglomerat petrokimia, tenaga hijau dan sumber asli yang berpangkalan di Singapura.

PEC dibina untuk mengoptimumkan kecekapan tenaga, meminimumkan saiz peralatan dan mengurangkan jejak karbon dengan ketara dan dibangunkan sejajar dengan standard prestasi International Financial Corporation dan Equator Principles 4.

Menurut kumpulan itu, PEC juga telah memperoleh komitmen pengambilalihan jangka panjang daripada penggiat tenaga berkualiti tinggi dalam industri untuk semua produknya.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif ChemOne Group M. Y. Ling berkata melalui PEC, ChemOne menyasarkan untuk mewujudkan kompleks aromatik terkini yang mampan dan cekap tenaga di Asia Tenggara untuk memberikan perkhidmatan kepada pasaran Asia yang luas.

Katanya pembiayaan hutang kanan untuk projek itu, dianggarkan kira-kira US$2.9 bilion, turut dilancarkan dalam bulan ini dan dijangka selesai dalam tempoh enam minggu.

PEC dijangka akan memuktamadkan beberapa perjanjian utama dengan rakan industri yang menyertai projek itu, bersama dengan usaha sama dan rakan kongsi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian, kumpulan Maire Tecnimont S.p.A dari Itali.

PEC telah menganugerahkan kontrak pelesenan teknologi kepada Honeywell UOP untuk projek tersebut, yang akan menggabungkan teknologi LD Parex generasi terkini Honeywell UOP.

“Teknologi pemprosesan aromatik termaju Honeywell UOP terkemuka di pasaran akan menghasilkan penggunaan tenaga yang berkurangan, pengeluaran aromatik yang maksimum, kos modal dan tenaga yang rendah dan fleksibiliti stok suapan yang lebih luas, membolehkan loji PEC menjadi antara kemudahan paling canggih, cekap tenaga dan karbon,” katanya.

Projek itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2026 dan mampu memproses 150,000 tong sehari (bpd) kondensat dan suapan sampingan nafta, yang sekali gus menghasilkan aromatik sebanyak 2.3 juta tan metrik setahun (mmtpa), output produk tenaga sebanyak 3.9 mmtpa dan hidrogen sebanyak 50,000 tan metrik setahun (mtpa). 

Pemisah kondensat akan menghasilkan nafta berat, stok suapan utama untuk kilang aromatik dan hidrogen yang dihasilkan dirancang digunakan untuk membangunkan kemudahan bahan api boleh baharu hiliran di Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengerang Energy Complex Sdn Bhd Alwyn Bowden berkata kemajuan ketara yang dilihat untuk projek itu, terutamanya adalah dalam tempoh enam bulan lepas.

“Dengan pembukaan pasaran serantau, kami berharap untuk mendapat momentum yang lebih baik berikutan kami akan memulakan pembinaan.

“Perjanjian yang dimeterai setakat ini menunjukkan keyakinan pihak berkepentingan kami yang tinggi terhadap projek itu.

“Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kami menjangka akan memuktamadkan rundingan dan menandatangani perjanjian dengan syarikat tenaga terkemuka global dan syarikat minyak untuk stok suapan dan pengeluaran,” katanya.

PEC menjangka perolehan eksport tahunan sebanyak US$5 bilion, mendorong Malaysia untuk meningkatkan lagi rantaian nilai dalam sektor petrokimia.

Ia dirancang untuk menerima bekalan stok suapan jangka panjang daripada syarikat minyak utama antarabangsa manakala penggiat petrokimia Eropah, Amerika, Jepun, China dan Thailand yang terkemuka komited untuk mengambil alih produk tersebut.

Dalam fasa pembinaan selama 45 bulan, PEC dijangka mengambil lebih 7,000 pekerja dan dijangka mengekalkan lebih 200 pekerja untuk operasi dan penyelenggaraan apabila pengeluaran komersial bermula.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X