B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pasaran Robotik Malaysia dijangka cecah RM103.1 bilion menjelang 2030 – MOSTI

Pasaran Robotik Malaysia dijangka cecah RM103.1 bilion menjelang 2030 – MOSTI

18 Mac 2023

Pasaran Robotik Malaysia diunjurkan mencecah RM103.1 bilion menjelang 2023, melepasi jumlah sasaran Pelan Hala Tuju Robotik Negara 2021-2030, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan.

Beliau berkata nilai pasaran industri robotik terutamanya Robot Perkhidmatan dalam 2022 kira-kira RM92.29 bilion, biarpun mengalami kesan yang menjejaskan kepada ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, beliau berkata jurang perbezaan sumbangan oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berbanding syarikat multinasional (MNC) perlu ditangani terlebih dahulu.

“Sumbangan PMKS jauh lebih kecil berbanding MNC dengan bahagian pasaran antara tiga hingga lima peratus dalam tempoh unjuran,” katanya dalam satu kenyataan semalam selepas laporan siri pertama ‘National Robotics Industry Country Report’ (NRICR) Malaysia mengenai Penciptaan Nilai dikeluarkan oleh Malaysia Robotics and Automation Society (MyRAS).

Pengeluaran NRICR semasa Persidangan “Intelligent Manufacturing” 2023 disaksikan oleh Mohd Nor Azman, Presiden MyRAS Prof Dr Ishkandar Baharin, Ketua Pegawai Pembangunan Ekosistem Malaysian Research Accelerator of Technology and Innovation (MRANTI) Mohd Safuan Mohd Zairi dan Pengurus Besar Kanan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Zaim Azyze.

Sementara itu, Ishkandar berkata NRICR menyasarkan untuk mengalihkan ekosistem robotik Malaysia daripada menambah nilai kepada penciptaan nilai yang berdaya tahan menerusi penyelesaian inovatif berimpak tinggi dalam mereliasasikan wawasan Pelan Hala Tuju Robotik Negara 2021-2030 untuk Malaysia menjadi hab robotik serantau dalam Perkhidmatan, Pertanian dan Pengilangan menjelang 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI Dzuleira Abu Bakar pula berkata dalam kenyataan sama bahawa sebuah Hab Rotik Kebangsaan akan ditubuhkan MRANTI di Taman MRANTI, Bukit Jalil di sini dengan kerjasama MyRAS, MARii dan lain-lain pemain industri robotik bagi menyokong peningkatan pemain dalam ekosistem robotik di Malaysia.

Beliau berkata NRICR akan menjadi asas untuk meningkatkan lagi pengambilan aplikasi robotik dalam pelbagai sektor industri di Malaysia dengan menyediakan satu gambaran keseluruhan keadaan teknologi robotik dalam negara termasuk kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman teknologi itu.

“MRANTI akan menggunakan teknologi terkehadapan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), termasuk Kecerdasan Buatan (AI),5G dan Internet Benda (IoT) untuk membangunkan kluster tumpuan mereka mengenai teknologi dron, teknologi kesihatan, teknologi pertanian dan teknologi pemboleh 4IR dengan penekanan kepada pengkomersialan teknologi,” katanya.

Zaim pula berkata MARii akan menyokong Pelan Tindakan Nasional untuk Robotik Automotif (NBAR) dengan mempertingkatkan sektor automotif dan mobiliti dalam pembuatan dan perkhidmatan untuk menyokong pembangunan Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV) di Malaysia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon